Isnin, 3 Oktober 2016 | 12:08am
KEGILAAN melampau remaja terhadap konsert artis Korea yang kebanyakan remaja di negara ini menyebabkan mereka mengalami masalah psikologi serius dinamakan Sindrom Memuja Selebriti (CWS). - Foto hiasan
ANTARA barang-barang yang berkaitan artis Korea yang menjadi kegilaan rakyat tempatan. - Foto hiasan

Risiko CWS akibat fanatik Kpop


KUALA LUMPUR: Gejala kegilaan melampau remaja, kebanyakannya Melayu, terhadap artis Korea, menyebabkan mereka mengalami masalah psikologi serius dinamakan Sindrom Memuja Selebriti (CWS).

Kumpulan remaja terbabit antara lain sanggup berbelanja ribuan ringgit sama ada untuk membeli pakaian dan barangan berkaitan artis pujaan mereka atau ke Korea untuk menonton konsert dan mencari peluang berjumpa artis tertentu.

Antara artis Korea yang menjadi kegilaan remaja tempatan ialah EXO, Big Bang, Beast, I.O.I, Girls Generation, EXID, iKON dan A Pink.

Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh, berkata CWS yang tidak diketahui ramai turut menyebabkan remaja terbabit mengalami halusinasi, kemurungan dan hidup dalam khayalan seolah-oleh artis terbabit mengenali atau membalas cinta mereka.

Katanya, dalam banyak siri ceramahnya bersama ribuan remaja, beliau percaya dua daripada tiga golongan berkenaan yang berusia antara 13 hingga 18 tahun, mengalami CWS.

Beliau berkata kumpulan remaja terbabit termasuk pelajar sekolah agama dan tahfiz, sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh.

PAKAR motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KONSERT artis Korea yang biasanya mendapat sambutan hangat di Malaysia. - Foto hiasan

"Sindrom berkenaan diklasifikasikan sebagai satu penyakit psikologikal baharu yang mana ia boleh menyebabkan remaja sukar menumpukan perhatian kepada pelajaran, kurang bersosial serta mengalami penyakit mental kronik seperti halusinasi seksual dan dua personaliti berbeza," katanya kepada BH.

Hushim berkata fenomena itu amat membimbangkan kerana semakin banyak kes membabitkan remaja yang obses terhadap artis Korea dirujuk di kliniknya sejak akhir-akhir ini.

Katanya, lebih empat daripada kes bulanan diterimanya membabitkan remaja obses terhadap artis terutama membabitkan selebriti Korea yang menjadi kegilaan seluruh dunia ketika ini.

"Antara kes obses kritikal ialah seseorang remaja tempatan membayangkan artis kesayangan sebagai pasangan mereka dan meyakini bahawa artis itu juga mencintainya. Apabila kegilaan itu melampau, mereka akan cenderung mengalami halusinasi seksual dan dua personaliti berbeza.

"Lebih membimbangkan kebanyakan remaja yang mengalami CWS adalah mereka yang mendapat pendidikan di sekolah tahfiz yang mengakui sukar menghafaz al-Quran kerana banyak masa digunakan untuk menonton rancangan dan mendengar muzik kegemaran," katanya.

Hushim berkata ibu bapa memandang ringan masalah itu kerana minat yang melampau terhadap artis bukanlah sesuatu yang janggal sejak zaman dahulu seperti membabitkan artis Hollywood dan Bollywood.

ANTARA barang-barang yang berkaitan artis Korea yang menjadi kegilaan rakyat tempatan. - Foto hiasan

Katanya, penularan CWS juga dikaitkan dengan kemudahan remaja menonton konsert atau drama Korea terutama menerusi internet pada bila-bila masa.

CWS juga sindrom yang menyebabkan peminat merasakan mereka mempunyai ikatan secara langsung dengan artis idola, walaupun hakikatnya artis itu mungkin tidak mengenalinya.

"Peminat biasa mungkin hanya sekadar mengambil tahu mengenai kehidupan idola mereka, tetapi bagi mereka yang obses, ia boleh menjejaskan rutin harian sekiranya kegilaan itu tidak ditangani dengan baik.

"Tidak hairanlah di luar negara ada kes peminat sanggup bertindak mencederakan diri atau membunuh diri kerana kecewa dengan berita perkahwinan artis kesayangan. Biasanya mereka yang fanatik ini ialah mereka yang mempunyai kurang keyakinan diri," katanya.

Pengakuan mangsa CWS

Seorang remaja yang terlalu fanatik dengan sebuah kumpulan nyanyian Korea mengakui menghabiskan RM20,000 secara keseluruhan pada tahun lalu semata-mata memenuhi minatnya itu.

Remaja terbabit yang berusia belasan tahun itu berbuat demikian bagi membuktikan dia mempunyai persamaan dan mengetahui setiap perkembangan artis kegemarannya itu.

Katanya, minat terhadap artis Korea mulai serius sejak mengenali kumpulan itu dua tahun lalu dan sanggup membelanjakan lebih RM10,000 sejak awal tahun lalu untuk mendapatkan cakera padat digital (CD), poster, majalah, koleksi buku foto, kalendar, sarung kaki, pen, cawan, baju, tiket konsert dan banyak lagi.

"Saya juga pernah melancong ke Korea sambil mendapatkan barangan dan menonton konsert kumpulan itu. Mungkin sesetengah orang menganggap apa yang dilakukan ini membazir tetapi saya rasa berbaloi dan puas hati kerana memiliki sebahagian besar koleksi barangan ini," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui minatnya mendalam terhadap artis Korea mengakibatkan dirinya terpaksa mendapatkan rawatan psikologi di sebuah klinik di ibu kota kerana tidak dapat fokus dalam pembelajaran.

Katanya, sekurang-kurangnya lapan jam sehari dia akan mendengar lagu, drama dan konsert artis Korea sambil melakukan tugasan lain.

"Jika tidak dapat melakukan rutin ini saya akan murung dan tidak boleh melakukan aktiviti lain," katanya yang sudah tiga bulan menjalani kaunseling itu.

Bagaimanapun, katanya, sejak menjalani rawatan, dia dapat mengurangkan masa mendengar dan menonton program berkaitan artis Korea kepada empat jam dan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.

KUMPULAN Big Bang.

GIRLS Generation.

EXID

Remaja lain yang berusia 15 tahun pula mengakui minat terhadap artis Korea menyebabkan dia khayal seolah-olah artis berkenaan.

Dia yang juga bekas pelajar cemerlang mengakui keputusan peperiksaannya merosot kerana tidak lagi berminat untuk belajar dan bercita-cita untuk menjadi seperti artis kegemarannya.

"Sejak meminati artis Korea, saya kurang berkomunikasi dengan ibu bapa dan adik-beradik kerana banyak masa dihabiskan bersama rakan-rakan yang juga mempunyai minat yang sama," katanya.

Malah, dia mengambil kursus bahasa Korea kerana mahu menjadi seperti artis Korea itu.

Katanya dia menghabiskan masa sekurang-kurangnya lima jam sehari untuk menonton program artis kegemarannya itu.

Berita Harian X