Isnin, 3 Oktober 2016 | 12:31am

Polis Turki tahan saudara lelaki Fethullah Gulen


KUTBETTIN Gulen ditahan polis yang bertindak atas maklumat awam di rumah saudaranya di daerah Gaziemir, barat Izmir. - Foto Google

ISTANBUL: Polis Turki menahan seorang saudara lelaki ulama berpusat di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen yang dituduh mendalangi cubaan rampasan kuasa gagal Julai lalu bertujuan menyingkirkan Presiden Recep Tayyip Erdogan, kali pertama adik beradiknya ditahan.

Agensi berita tempatan Anadolu berkata, Kutbettin Gulen ditahan polis yang bertindak atas maklumat awam di rumah saudaranya di daerah Gaziemir, barat Izmir.

Anadolu berkata, Kutbettin Gulen dituduh 'menjadi ahli kumpulan pengganas bersenjata', tanpa memberi maklumat lanjut.

Kutbettin Gulen disoal siasat polis anti-pengganas dan Anadolu berkata, buku milik Fethullah Gulen turut dirampas dalam serbuan itu.

Fethullah Gulen, bekas sekutu Erdogan yang menetap dalam buangan di AS sejak 1999, dituduh Turki kerana mendalangi penggulingan 15 Julai lalu.

Menurut laporan media Turki sebelum ini, Gulen mempunyai tiga saudara lelaki yang masih hidup iaitu Mesih, Salih dan Kutbettin manakala dua lagi sudah meninggal dunia iaitu Seyfullah dan Hasbi.

Beliau juga memiliki saudara perempuan iaitu Nurhayat dan Fazilet. Keadaan mereka bagaimanapun tidak diketahui. - AFP

Berita Harian X