Isnin, 3 Oktober 2016 | 10:20am

Tentera pakatan Arab serang bot militia Houthi


Seorang pengawal sempadan Saudi berdiri di dalam bot mengawal di luar pantai Laut Merah di sempadan maritim Arab Saudi dengan Yaman. Foto REUTERS/www.ibtimes.com

DUBAI: Tentera pakatan Arab melancarkan operasi terhadap bot militia kumpulan pemberontak Houthi di Yaman yang menyerang kapal logistik awam dalam pelayaran kemanusiaan di laluan perkapalan Laut Merah.

Kapal berkenaan, pengangkut logistik berkelajuan tinggi buatan Australia berada dalam pajakan tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), diserang pemberontak Houthi berhampiran selat Bab al-Mandab di luar pantai selatan Yaman pada Sabtu.

Pasukan pakatan berjaya menyelamatkan penumpang dan tiada kru yang cedera.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Sabtu, pasukan pakatan berkata kapal milik UAE Marine Dredging Company itu dalam laluan biasa dari Aden untuk menghantar bantuan dan perubatan serta memindahkan penduduk awam yang cedera untuk mendapatkan rawatan di luar Yaman.

"Tentera udara dan laut pasukan pakatan menyasarkan bot militan Houthi yang terbabit dalam serangan," kata kenyataan.

Menurut pasukan pakatan, kejadian menunjukkan taktik Houthi termasuk apa yang digelar 'serangan pengganas' terhadap kapal antarabangsa awam di peratiran itu.

Bagaimanapun, pada Sabtu militan Houthi berkata anggota mereka memusnahkan kapal tentera UAE yang mara ke arah pelabuhan Al-Mokha di Laut Merah.

"Pasukan bersenjata memusnahkan kapal milik tentera UAE dengan peluru berpandu," pegawai tentera dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Saba Yemeni, yang dikendalikan Houthi sejak merampas ibu negara, Sanaa, tahun lalu.

Amerika Syarikat mengutuk serangan itu, mendesak pemberontak Houthi berhenti menyerang kapal dan berkata ia kekal komited memastikan kebebasan pelayaran di selat itu. - Reuters

220 dibaca
Berita Harian X