Selasa, 4 Oktober 2016 | 12:04am
ARTIS Korea, Lee Byun Hun.
RAIN menjadi watak utama dalam filem Ninja Assassin.
KUMPULAN Wonder Girls yang pernah menjadi fenomena menerusi lagu Nobody.

Curigai sikap anak-anak berkurung dalam bilik


KUALA LUMPUR: Aspek pendidikan agama Islam dalam institusi kekeluargaan, dilihat mekanisme terbaik yang perlu dilaksanakan bagi mengekang sebarang bentuk pengaruh, terutama secara halus menerusi hiburan.

Penceramah bebas, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai penjaga dan sentiasa memeriksa kegiatan anak, termasuk mengambil tahu aktiviti mereka pada waktu lapang seperti mendengar muzik atau menonton drama yang boleh melalaikan.

"Kita sebagai ibu bapa, perlu mengambil tahu apa yang anak kita buat pada masa lapang. Jika mereka gemar memencilkan diri dalam bilik, kita perlu tahu apa yang mereka lakukan.

"Adakah sekadar mendengar muzik dan menonton muzik video atau drama biasa ataupun mengandungi unsur seks," katanya ketika dihubungi, BH, di sini, semalam.

Semalam, BH melaporkan gejala kegilaan melampau terhadap artis Korea mengakibatkan ramai dalam kalangan remaja terutama mereka yang berusia antara 13 hingga 18 tahun dikesan menghidap Sindrom Memuja Artis (CWS).

Fenomena berkenaan dilihat sebagai membimbangkan kerana semakin banyak kes membabitkan remaja yang obses terhadap artis Korea dirujuk untuk rawatan sejak akhir-akhir ini.


Umat Islam wajib sedar agar tidak terjerat dalam perangkap normalisasi. - Foto hiasan

LAPORAN eksklusif BH mengenai gejala kegilaan melampau terhadap artis Korea.

Ahmad Fauwaz berkata, dalam dunia teknologi kini, ibu bapa tidak boleh ketinggalan kerana perbuatan itu mempunyai kesan mendalam termasuk merosakkan akhlak.

Katanya, gejala minat dan obses bukan lagi asing, malah pernah terjadi beberapa kes mencederakan diri serta bunuh diri.

Beliau berpendapat, ibu bapa perlu fokus kepada perkembangan dan rutin anak mereka bagi mengekang masalah sedemikian.

"Ini bukan kali pertama, malah pernah berlaku beberapa kali membabitkan senario sama. Selain ibu bapa, pendidik juga perlu memainkan peranan memantau pelajar dengan lebih dekat terutama bagi pelajar di sekolah berasrama.

"Kita tidak mahu remaja Islam terjebak dengan jerangkap ini sekali gus boleh membawa kepada masalah sosial. Jika sekadar minat biasa, ia tidak mengapa, tetapi jika sehingga memudaratkan diri dan melanggar batas agama, perbuatan itu berdosa besar," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Teknologi Multimedia, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Sobhi Ishak, menyifatkan artis Korea bukan setakat menampilkan aspek fizikal sempurna, tetapi turut bersandarkan tiga ciri utama, menyebabkan mereka mudah membuatkan peminat untuk bersikap obses serta fanatik.


DR Mohd Sobhi Ishak.

PENJAGA perlu sentiasa memeriksa kegiatan anak, termasuk mengambil tahu aktiviti mereka. - Foto hiasan

Mereka dikesan menawarkan kandungan sikap dan identiti bersandarkan tiga ciri iaitu ethos (pembawaan karakter); pathos (pembawaan emosi) dan logos (pembawaan nilai) yang menjadi tarikan utama peminat hingga memilih untuk bersama dalam fantasi dibangunkan hiburan Asia Timur.

"Situasi ini sama seperti juga fantasi Bollywood, yang pernah menjadi pilihan penduduk kampung dan golongan miskin sekitar 1970-an kerana dipenuhi fantasi kehidupan serba mewah dan cinta suci.

"Senario ini berbeza dengan dunia seni kita. Momokan kutipan filem sehingga jutaan ringgit tidak selari kualiti karya. Artis kita masih lemah dalam aspek intelektual dan profesionalisme serta belum lengkap dalam memenuhi cita rasa, sikap dan identiti diperlukan masyarakat," katanya.

Kemunculan ikon artis seperti Bae Yong Jun, Rain, Super Junior, Beast, Wonder Girls, BigBang, Jay Chou, Jacky Chan, Jet Li dan Utada Hikaru, pernah mencetuskan fenomena besar hingga ke Hollywood.

Keadaan itu berbeza dengan pentas hiburan tempatan yang masih bergantung kepada populariti hanya segelintir artis seperti Yuna dan Siti Nurhaliza.

Antara artis Korea yang berjaya menempa nama di Hollywood ialah Lee Byun Hun yang pernah membintangi filem GI Joe: The Rise of Cobra serta Rain (Ninja Assassin) dan Daniel Henney melalui filem X-Men Origins, manakala Wonder Girls mencetuskan fenomena di seluruh Asia, Amerika Syarikat dan Eropah menerusi lagu Nobody.


SINDROM remaja kita memuja artis Korea jadi fenomena membimbangkan.

Berita Harian X