Selasa, 4 Oktober 2016 | 6:29am
KERATAN akhbar BH.
KERATAN akhbar BH.

Kebajikan mahasiswa agenda MPP

- Gambar hiasan/merdeka-online.com
- Gambar hiasan/merdeka-online.com

Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang perlu diberi perhatian dan diambil perhitungan. September 2016 yang baru berlalu dan Oktober ini menyaksikan landskap peralihan mandat kepemimpinan mahasiswa di kampus kebanyakan universiti awam (UA) di negara ini.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah suatu badan tertinggi pelajar yang diiktiraf sebagai medium rasmi kebajikan pelajar dan dinyatakan secara jelas dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975.

Keahlian MPP dipilih melalui sistem demokrasi pilihan raya kampus dan meletakkan mahasiswa sebagai calon dan warga pemilihnya. Pilihan raya kampus adalah satu wadah demokrasi yang seharusnya diraikan serta disuburkan dalam kalangan mahasiswa.

Tanggungjawab pemimpin mahasiswa juga seharusnya meletakkan nilai-nilai kerohanian serta memperkukuh spiritual dalam kalangan setiap warga pimpinannya. Jiwa yang hidup dengan agama tidak akan pernah terpesong daripada hakikat sebenar sebuah perjuangan. Aktiviti bersifat kerohanian perlu disusun agar agenda membina ummah sejagat mampu dicapai.

Kebajikan adalah elemen penting dan menjadi asas utama dalam penubuhan pimpinan mahasiswa di kampus. Mahu tidak mahu, ahli MPP yang dilantik seharusnya mengutamakan kebajikan mahasiswa dan tidak boleh mengabaikannya walau sekecil perkara. Segala-galanya perlu dititikberatkan. Konsep gagasan berkebajikan perlu diterapkan di semua kampus yang mementingkan setiap ahlinya mendapat hak yang sepatutnya.

Ini bertepatan dengan konsep keadilan diketengahkan dalam Islam bahawa perlu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Justeru, bagi menjamin kebajikan sejagat, semua pihak perlu ditunaikan hak mereka. Kebajikan yang dimaksudkan bukan hanya sekadar fasiliti dan isu yuran pelajar, bahkan lebih daripada itu. Kebajikan yang merangkumi urusan harian, keperluan asas, peluang pendidikan dan sebagainya perlu juga diambil perhatian.

Dalam pada menjadi pemimpin dalam MPP di universiti, tidak dapat dinafikan setiap daripada ahli bakal dihujani pelbagai cabaran dan mehnah tribulasi yang menyerang dari segenap aspek. Maka, pengurusan diri dan kepatuhan masa amat penting dalam melayari bahtera kepemimpinan. Pemimpin seharusnya mempunyai penyusunan masa yang jitu dan efisien dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan.

Pemimpin pelajar mempunyai komitmen sebagai seorang mahasiswa, dan pada masa sama, komitmen sebagai pemimpin yang berkhidmat mentadbir urus kebajikan dan pembangunan mahasiswa. Mereka perlu membahagikan masa dan mengoptimumkan penggunaan waktu menjadi mahasiswa dan pemimpin. Isu kebajikan berkaitan mahasiswa terkadang akan timbul secara tiba-tiba dan ini memerlukan kebijaksanaan dan keprihatinan seorang pemimpin dalam menguruskan isu yang timbul.

Penyelesaian sesuatu isu juga seharusnya bersifat praktikal serta tindakan perlu diambil secara pantas. Penyusunan organisasi dan pentadbiran dalam kepemimpinan perlu bersifat holistik dan kolektif agar penyelesaian yang dicapai mampu memberi kebajikan kepada semua yang berhak.

Perlu diingatkan kepada semua ahli MPP yang dilantik, seorang pemimpin yang hebat menawarkan dirinya untuk memimpin terkadang bukan kerana kehendak, tetapi keinginan untuk melihat perubahan yang perlu ada dalam setiap warga pimpinannya. Namun, harus diingat bahawa berani memohon mandat perlu juga berani dihisab tanggungjawab dan peranan sepanjang memegang amanah.

Peranan pemimpin itu mendifinisikan realiti diawalnya, khadam pada pertengahannya, dan ikutan pada akhirnya. Perjuangan itu memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan itu menuntut sebuah keikhlasan. Jawatan itu bukanlah sesuatu kemuliaan dan kebanggaan, tidak pernah melambangkan ketinggian, dan tidak akan membezakan anda dengan yang lain. Harus diingat, bahawa jangan hanyut dalam tingginya jawatan, kerana peranan hakiki seorang mahasiswa itu adalah khadam kepada ilmu. Selamanya mungkin tidak akan seseorang mampu memimpin tanpa keilmuwan yang menjadi peneman disisinya.

Penulis mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua pimpinan baharu yang dilantik menganggotai MPP di semua kampus seluruh negara. Semoga usaha untuk memaknakan mahasiswa dan merealisasikan slogan 'mahasiswa ejen perubahan masyarakat' lebih rancak dengan kehadiran kalian memimpin mahasiswa. Masyarakat menanti perubahan yang dibawa oleh mahasiswa.

Semoga amanah ini dapat dipikul seadilnya. Memetik kata-kata Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi, seorang cendekiawan Islam kontemporari, berkenaan ejen perubahan, 'mereka adalah generasi yang membentuk kesedaran, golongan terpilih, mempunyai qudwah serta sentiasa berada di hadapan tatkala dipanggil berjuang. Mereka menanggung segala kepayahan bersama, membantu menyelesaikan masalah, berkongsi suka dan duka, sehinggakan mereka mampu meluahkan penderitaan dan melakarkan cita-cita."

Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan masyarakat adalah sebahagian daripada mereka, tiada sebarang pemisah. Mereka adalah pemimpin masyarakat, tidak pernah sesal dalam memimpin dan tidak pula pernah goyah untuk melihat masyarakat kembali kepada jalan yang benar.

Akhir kalam, kepemimpinan mahasiswa cerminan kepemimpinan negara yang akan datang. Maka hindarilah segala unsur yang mampu mencalarkan imej seorang pemimpin dan menghilangkan nilai integriti yang seharusnya dalam diri pemimpin. Tunaikanlah hak seadilnya dan berpeganglah kepada agama dan Tuhan. Salam perjuangan buat semua pemimpin mahasiswa dan teruskanlah sinergi untuk melakar perubahan dalam mencorak warna-warni kepemimpinan di negara ini, kerana anda dipersediakan untuk memimpin masa hadapan.

Penulis adalah bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X