Selasa, 4 Oktober 2016 | 8:21pm

ITBM, DBP dan PKB nafi tuduhan sengaja malukan negara

Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah . - Foto Shiraz Ali
Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah . - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Tiga agensi yang mengetuai penyertaan Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2016 di Jakarta yang berakhir Ahad lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan insiden rampasan buku Manifesto Komunis terbitan Thukul Cetak dilakukan dengan sengaja bertujuan memalukan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) terhadap tuduhan berniat jahat yang kini menjadi viral termasuk di media sosial.

Kenyataan itu berkata, tuduhan berkenaan ditimbulkan mengaitkan tiga agensi di bawah Kementerian Pendidikan dengan pakatan sulit bersama pembangkang kononnya dengan sengaja membawa penerbit buku Indie bagi tujuan menyebar idea komunis serta sosialis di Indonesia.

"Rampasan enam naskhah buku itu oleh pihak berkuasa Indonesia pada hari keempat IIBF 2016 berlangsung adalah disebabkan salah faham yang berpunca daripada ilustrasi logo komunis pada kulit buku berkenaan.

"Susulan rampasan itu, empat peserta delegasi termasuk penerbit Manifesto Komunis, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak, Zulfikri Zamir Mohamad Munir dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah selaku Ketua Penyelaras Pavilion Malaysia diminta hadir ke balai polis dan pejabat imigresen bagi tujuan soal siasat.

"Bagaimanapun, mereka kemudian dilepaskan tanpa ditahan selepas kandungan buku itu disahkan bebas daripada sebarang elemen yang mendorong kepada doktrin berkenaan," katanya dalam kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, selain bertanggungjawab mempromosi peluang perniagaan industri, ITBM, DBP dan PKB turut berperanan menyelesaikan apa juga kesulitan dihadapi wakil peserta sesuai peranannya sebagai moderator atau penyelaras yang membawa delegasi 21 penerbit ke IIBF 2016.

"Justeru, Sakri selaku ketua agensi delegasi Malaysia mewakili ITBM, DBP dan PKB mengambil tanggungjawab penuh menyelesaikan urusan dengan pihak berkuasa Indonesia.

"Ini termasuk menyerahkan pasportnya sebagai jaminan sehingga semua perkara berkaitan selesai sepenuhnya dan beliau kemudian dibenarkan pulang dengan penerbangan jam 8.30 malam waktu Indonesia, semalam.

"Sehubungan itu, kami dengan ini sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya cubaan jahat pihak tertentu untuk mengaitkan kami dengan apa juga usaha bermotifkan politik baik secara langsung mahupun tidak langsung. Tanggungjawab kami adalah hanya kepada negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai ilustrasi kulit buku Manifesto Komunis, kenyataan itu berkata, penyertaan buku berkenaan untuk pameran di Pavilion Malaysia diterima berikutan tidak wujud sebarang halangan terhadap jualan buku itu di Malaysia.

Kenyataan itu berkata, pada masa sama kandungannya juga sudah disahkan sendiri pihak berkuasa Indonesia sebagai tidak bertentangan dengan undang-undang negara mereka.

"Bagaimanapun apa yang berlaku ialah ilustrasi logo dihasilkan atas tuntutan pemasaran bagi menarik perhatian pembaca bagi rangsangan jual beli tanpa menyedari logo berkenaan sebenarnya amat sensitif di Indonesia.

"Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) selaku penganjur IIBF 2016 juga sebelum ini tidak pernah memaklumkan kepada agensi delegasi Malaysia berhubung perkara sensitif yang perlu diberi perhatian setiap wakil peserta.

"Bagaimanapun, kami mengambil serius perkara ini dan sebagai tindakan serta merta, satu kajian bagi penyediaan prosedur operasi standard (SOP) akan disediakan bagi tujuan persediaan untuk penyertaan di mana-mana pesta buku antarabangsa akan datang.

"Ini termasuk mendapatkan senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang negara tuan rumah untuk edaran, perhatian serta tindakan setiap wakil peserta," katanya.

Berita Harian X