Selasa, 4 Oktober 2016 | 10:02pm

'Speedy Jantan' terima insentif RM28,666.66


PELARI terpantas negara Khairul Hafiz Jantan. - Foto Owee Ah Chun

MELAKA: Pelari terpantas negara Khairul Hafiz Jantan atau 'Speedy Jantan' merupakan penerima terbanyak insentif Kerajaan Melaka bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, yang berlangsung Julai lepas, dengan jumlah RM28,666.66.

Menerusi kenyataan sempena majlis penyampaian insentif itu hari ini, Khairul Hafiz memperoleh RM10,000 apabila berjaya memenangi pingat emas untuk acara 100 dan 200 meter (m); RM10,000 apabila berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara 100m; dan RM5,000 memecah rekod SUKMA acara 200m.

Sementara selebihnya perkongsian kemenangan untuk pingat emas bagi acara 4x100m dan 4X400m berjumlah RM2,000 serta perkongsian insentif kerana memecah rekod SUKMA untuk dua acara tersebut berjumlah RM1,666.66.

Majlis penyampaian yang diadakan di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini disempurnakan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ab Rahaman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM120,600 untuk pemberian insentif kepada 49 atlet negeri itu pada SUKMA lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap atlet yang menerima insentif tersebut menggunakannya untuk tujuan yang berfaedah dan mampu membantu kerjaya mereka sebagai seorang atlet.

"Kita sandarkan harapan yang tinggi kepada semua atlet untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang pada SUKMA edisi ke-19 yang dijadual di Perak dalam dua tahun akan datang," katanya.

Pada SUKMA Sarawak Julai lepas, Melaka berada pada kedudukan ke-10 pungutan pingat apabila berjaya memperoleh 18 emas, 11 perak dan 28 gangsa.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif menutup Hutan Rekreasi Ayer Keroh di sini selama dua hari bermula semalam untuk memberi laluan kepada operasi menembak babi hutan akibat penyebaran virus Japanese Enchephalitis (JE).

"Sebelum operasi menembak dilaksanakan, kita akan memastikan bahawa tidak ada sesiapa di kawasan tersebut bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Semalam media melaporkan seorang lelaki berusia 60-an yang dipercayai berjoging di kawasan hutan itu dijangkiti virus JE dipercayai akibat bawaan nyamuk dan lelaki berkenaan kini dirawat di sebuah hospital swasta di negeri ini serta dilaporkan dalam keadaan terkawal. - BERNAMA

Berita Harian X