Rabu, 5 Oktober 2016 | 12:25am

Pelajar bantah pembukaan semula Universiti Wits

PELAJAR membantah pembukaan semula Universiti Wits, selepas beberapa minggu mengadakan demonstrasi. - Foto AFP
PELAJAR membantah pembukaan semula Universiti Wits, selepas beberapa minggu mengadakan demonstrasi. - Foto AFP

JOHANNESBURG: Polis Afrika Selatan hari ini melepaskan tembakan peluru getah, bom asap dan gas pemedih mata ke arah pelajar di Johannesburg yang membantah pembukaan semula Universiti Wits, selepas beberapa minggu mengadakan demonstrasi.

Universiti berprestij yang mempunyai cawangan sehingga selatan Afrika itu ditutup sejak dua minggu lalu berikutan bantahan terhadap yuran pengajian, dengan pertempuran ganas kerap meletus antara pelajar, polis dan pengawal keselamatan swasta.

"Ada percubaan untuk mengganggu kuliah di universiti hari ini. Polis sedang menyuraikan demonstrasi itu dengan menggunakan gas pemedih mata dan bom asap," lapor universiti dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa universiti sebelum ini memberitahu akan membuka semula kampus hari ini, manakala naib canselor, Adam Habib memberi amaran 'akibat buruk jika tidak menamatkan pengajian."

Menurutnya, kebanyakan pelajar mahu kembali menyambung kuliah, sambil menambah bahawa polis dan kakitangan keselamatan akan memastikan pengajian dapat diteruskan dan bantahan beramai-ramai dihentikan.

Ketika anggota polis melepaskan tembakan dan penunjuk perasaan membaling batu, rakaman televisyen menunjukkan beberapa pelajar dan sekurang-kurangnya seorang pegawai polis cedera ringan.

"Pihak universiti hanya mahu menangkap, bukan mahu mendengar masalah kami. Kami bukan penjenayah," kata Patrick Shabalala, 21, pelajar jurusan undang-undang tahun tiga universiti berkenaan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X