Rabu, 5 Oktober 2016 | 1:03pm

Askar jatuh laut: Anak sulung selalu panggil ayah

Siti Aminah Abdul Hamid, 31, memangku dua anaknya, Nur Wasiim Aqilah, 3 dan Nur Maisarah Saadiah yang berusia setahun melihat foto Koperal Mohd Faisol Rosli, 29, yang hilang di Pulau Perak selepas terjatuh ke laut - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Anak sulung seorang daripada anggota tentera yang dilapor hilang selepas terjatuh ke laut di Pulau Perak perairan Langkawi dekat sini, mulai rindu bapanya.

Tiga hari selepas kehilangan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, anaknya, Nur Wasiim Aqilah, 3, seolah-olah mengetahui ada yang tidak kena apabila melihat kediaman mereka di Kampung Keda Kemangi, dekat Kupang, di sini, tidak putus-putus dikunjungi sanak saudara dan rakan.

Isteri Mohd Faizol, Siti Aminah Abdul Hamid, 31, mengakui hiba setiap kali Aqilah bertanyakan bapanya.

"Aqilah mula bertanyakan bapanya kerana dia dan anak bongsu kami yang berusia setahun memang rapat dengan suami.

"Aqilah asyik melihat gambar bapanya dan memanggilnya, membuatkan saya sebak," katanya ketika dihubungi pagi ini.

Siti Aminah yakin suaminya masih selamat dan keluarganya mengadakan majlis bacaan surah Yasin dua malam berturut-turut.

Dalam kejadian jam 4.40 petang kelmarin, Mohd Faizol dan Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dilapor hilang di Pulau Perak selepas terjatuh ke laut ketika mengambil air.

Kedua-dua anggota itu dari Tim Nisa Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berpangkalan di Oran, Perlis dan masing-masing ditugaskan di Pulau Perak yang terletak kira-kira 66 batu nautika dari barat daya Langkawi, sejak sebulan lalu.

Berita Harian X