Rabu, 5 Oktober 2016 | 4:12pm

Aktivis sastera, Abu Hassan Ashari meninggal dunia


YANG Dipertua Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), Abu Hassan Ashari Abas.

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), Abu Hassan Ashari Abas, meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis di Hospital Muar, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Adik iparnya, Amran Abd Hamid, berkata Abu Hassan yang menetap di Klang dimasukkan ke Hospital Klang lebih seminggu lalu akibat penyakit kencing manis yang sudah beberapa tahun dihidapinya.

"Bagaimanapun, disebabkan keadaan kesihatan beliau semakin merosot, ahli keluarganya membuat keputusan memindahkan beliau ke Hospital Muar supaya lebih dekat dengan kampung halamannya beberapa hari lalu," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Amran berkata, Abu Hassan pernah menjalani rawatan dialisis tetapi kemudian berhenti kerana sibuk dengan aktiviti bahasa dan sastera yang menjadi minatnya sejak sekian lama.

"Sejak sekian lama mengenali arwah, saya dapati minatnya pada bahasa dan sastera tidak pernah padam, malah beliau enggan meneruskan rawatan dialisis kerana tidak mahu mengganggu jadual aktiviti sasteranya.

"Meskipun isterinya yang juga kakak saya, sudah meninggal dunia lebih 10 tahun yang lalu, hubungan kami tidak pernah putus, malah Abu Hassan juga mengunjungi saya sekeluarga di Kulai, Johor beberapa bulan lalu," katanya.

Selepas kematian isterinya, Lina Abd Hamid, Abu Hassan tinggal di kediamannya di Klang, bersama dua anak angkat termasuk anak angkat lelaki berusia lingkungan 20-an yang menjaga arwah sehingga akhir hayatnya.

Sementara itu, Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Amiruddin Md Ali Hanafiah menyifatkan pemergian Abu Hassan sebagai kehilangan buat dunia perjuangan bahasa dan sastera.

Amiruddin yang juga Ketua I Persatuan Penulis Johor (PPJ) berkata, Abu Hassan ialah penulis dan aktivis yang terus gigih memperjuangkan bahasa serta sastera sehingga akhir hayatnya.

"Perginya bukan saja kehilangan besar buat dunia perjuangan bahasa dan sastera, bahkan kita juga kehilangan pemimpin yang setia bersama dalam menggerakkan kegiatan sastera tanah air khususnya di Selangor," katanya.

Jenazah Abu Hassan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Parit Haji Kosai, Parit Sakai, Muar, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Berita Harian X