Khamis, 6 Oktober 2016 | 3:20pm

DBP minta semak kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah


PENGERUSI Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah perlu disemak semula untuk memastikan hak bahasa Melayu tidak 'dirampas' seperti yang berlaku pada masa ini sehingga 300 sekolah memulakan Program Dwibahasa (DLP) dengan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik sejak Januari lalu.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, berkata pengenalan DLP disifatkan sebagai tidak betul, selain diibaratkan sebagai 'lain yang sakit, lain yang diubati.'

"Apa yang berlaku sekarang menerusi pengenalan DLP dan sebelum itu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah rampasan yang akan 'memiskinkan' bahasa Melayu.

"Tidak mustahil satu hari nanti kita akan melihat bahasa Melayu hanya digunakan dalam kelas bahasa Melayu atau drama saja," katanya kepada BH selepas Majlis Hari Inovasi DBP di DBP di sini, hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyentuh tentang bahasa Melayu dipinggirkan berikutan kaedah pengajaran bahasa Inggeris yang tidak efektif pada Majlis Titah Diraja di DBP, semalam.

Md Salleh berkata, titah Sultan Perak memberikan harapan untuk melihat keadaan sekarang diubah.

"Apa yang kita harapkan keadaan sekarang boleh diubah dan semoga pihak yang berkaitan membaca dan menilaikannya untuk tindakan selanjut.

"Pengenalan DLP bukan saja melanggar Akta DBP, bahkan Perlembagaan yang secara jelas memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan wasiat Raja-raja Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengkehendaki subjek diajar dalam bahasa Melayu di sekolah aliran kebangsaan.

"Paling aneh untuk dilihat adalah DLP tidak terpakai di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan," katanya.

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam menamakan kawasan perumahan, pusat pelancongan, gedung perniagaan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Md Salleh berkata, setakat ini hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) saja yang merujuk kepada DBP sebelum menamakan projek pembangunan yang dibina.

"Tidak banyak PBT yang peduli akan hal ini dan DBP tidak berhak untuk menurunkan papan tanda mereka, malah banyak iklan juga dibuat dalam bahasa Inggeris.

"Kami menggesa PBT lebih bertanggungjawab dalam hal ini dan sentiasa boleh mendapat kerjasama daripada DBP," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan merasmikan Hari Inovasi DBP pada majlis yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas.

Berita Harian X