Khamis, 6 Oktober 2016 | 4:51pm

PETRONAS komited anjur program pendidikan


AHLI Parlimen Sipitang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), Datuk Sazali Hamzah dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman bergambar bersama pelajar pada Program 'Back To School' Bengkel Kecemerlangan Matematik dan Sains serta Sumbangan Beg Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Berampah, Sipitang, sebentar tadi. - Foto Edmund Samunting

SIPITANG: PETRONAS terus giat menganjur pelbagai inisiatif termasuk program pendidikan bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam akademik.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), Datuk Sazali Hamzah, berkata ini termasuk program pendidikan khusus seperti Program Sentuhan Ilmu (PSIP).

Katanya, ia adalah sebahagian usaha berterusan PETRONAS bagi menggalak pembangunan modal insan di kawasan syarikat minyak dan gas nasional itu beroperasi, selain meningkatkan pencapaian akademik keseluruhan pelajar luar bandar.

"Sejajar itu, di bawah program Back To School kali ini, PCG menyumbang bantuan persekolahan, selain memberi pendedahan kaedah efektif pembelajaran Matematik dan Sains kepada murid kurang bernasib baik di kawasan Sipitang.

"Program ini dilaksanakan hasil usaha sama PCG, Pejabat Pendidikan Daerah dan BH," katanya berucap Program 'Back To School' Bengkel Kecemerlangan Matematik dan Sains serta Sumbangan Beg Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Berampah, dekat sini, sebentar tadi.

Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad. Yang turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Sempena majlis itu, PETRONAS menyumbang bantuan peralatan sekolah kepada 600 murid sekitar Sipitang.

Terdahulu, PETRONAS dengan kerjasama BH menganjurkan Bengkel Kecemerlangan Sains dan Matematik disertai 200 murid Tahun Satu hingga Enam.

Selepas ini, program sama sekali lagi dengan kerjasama BH akan diadakan di Terengganu dan Labuan.

Badrulhisham berkata, BH melihat kerjasama bagi penganjuran program berkenaan adalah gabungan istimewa yang memberi impak tinggi khususnya kepada generasi muda.

"BH amat berharap hubungan rapat dengan PCG dapat diteruskan pada masa akan datang kerana apa yang penting ialah menjayakan matlamat utama melahirkan pelajar cemerlang," katanya.

Beliau berkata, selama ini BH menganjurkan pelbagai program seperti seminar pendidikan, selain menerbitkan sisipan dalam akhbar yang menyediakan ruang kepada pelajar membuat ulangkaji bagi menghadapi peperiksaan utama.

Sapawi pula dalam ucapan perasmiannya, merakamkan penghargaan kepada PETRONAS dan BH atas inisiatif menganjur program yang membantu membangunkan pendidikan terhadap anak Sipitang.

Berita Harian X