Jumaat, 7 Oktober 2016 | 12:00am

Pipi pauh dilayang

SOLEKAN umpama kuasa magis, sentuhannya menaikkan seri dan menutupi cela wajah seseorang. Namun, tidak semua memiliki kesempurnaan wajah, bahkan ada sudah cantik tetap tidak pernah puas, merasakan ada saja kekurangan pada dirinya.

   Itu adalah fitrah kerana baik wanita mahupun lelaki, mahu sentiasa tampak cantik, menawan dan memiliki kesempurnaan.

   Bagi yang gemarkan solekan, wajah menjadi medium eksperimen untuk mencuba kaedah mekap terbaik supaya wajah tampak mempesona, menawan, terletak dan sempurna.

   Misalnya, untuk mendapatkan ilusi wajah runcing, teknik konturan atau membentuk wajah boleh menampakkan raut wajah yang terletak, cantik dan menawan.

   Jurusolek artis, Muhammad Taufiq Aymaduddin, 22, atau lebih dikenali Ayum Primadona, menggunakan bedak kompak untuk menghasilkan kontur berbanding bedak asas, yang leceh berikutan perlu diratakan ke seluruh wajah.

"Saya lebih gemar sukakan bedak kompak kerana hasilnya lebih semula jadi dan mudah dirapikan dengan sapuan berus tetapi memberikan ilusi wajah yang mempesona.

"Lazimnya, kita menginginkan pipi bak pauh dilayang, dagu runcing dan hidung mancung kerana itu definisi wajah sempurna. Namun tidak semua mempunyai figura sempurna sebegitu.

"Justeru, perkara penting dalam solekan adalah konturan iaitu pembentukan wajah bagi menutupi kekurangan wajah, dibantu dengan teknik pembayang," katanya yang bekerja di sebuah stesen televisyen.

Pembayang pula ialah bayangan gelap yang diberikan pada bahagian tertentu di wajah untuk menutup kekurangan supaya memperoleh kesan wajah lebih kecil atau terlalu menonjol. Warna yang biasa digunakan untuk pembayang adalah rona gelap seperti coklat.

TEKNIK kontur menjadi asas kepada pembentukan wajah runcing.

Teknik betul

Ayum berkata, menyolek wajah dengan teknik yang betul dan pemilihan jenama alat solek yang sesuai, berupaya memberi kesempurnaan pada wajah.

   Katanya, seeloknya elakkan daripada jenama solekan tiruan yang dijual murah kerana hasilnya tidak sebaik asli dan mungkin memudaratkan kulit.

"Mekap adalah satu seni, misalnya penyerlah daripada warna terang seperti kuning air yang berperanan menampakkan hidung mancung manakala kontur pula menonjolkan tulang pipi, rahang, hidung, dagu dan dahi.

"Saya suka menggunakan bedak kompak kerana teksturnya ringan, halus dan boleh dibetulkan dengan mudah serta menggunakan layangan berus solekan.

"Pembayang pula menyempurnakan bentuk wajah dan mengurangi bentuk pipi yang kelihatan bulat dan tembam dengan mencipta kesan wajah lebih tirus," katanya yang mula menyolek sejak di Tingkatan Dua.

Ayum berpengalaman sembilan tahun bergelar jurusolek artis, berkata pembayang juga penting untuk menyeimbangkan wajah yang berbentuk lonjong.

   Katanya, dalam seni solekan, bentuk hidung yang kurang mancung, dagu yang kurang runcing atau pipi yang kelihatan tembam juga boleh diubah dengan solekan tertentu iaitu kontur.

"Justeru, kontur ini penting kerana ia asas mekap, di mana wajah dibentuk terlebih dahulu sebelum langkah lain dilakukan. Ia juga membantu wajah tampak sempurna dari segi simetri. Cara ini juga boleh menutup kekurangan wajah sambil menonjolkan kelebihan wajah seseorang," katanya

Cara solekan

Ayum berkata, selepas membersihkan wajah, solekan dimulakan dengan menyapu alas bedak pada seluruh wajah. Alas bedak berfungsi untuk menutup cela atau parut kecil pada wajah dan dibantu dengan penyamar noda.

Selepas itu, teknik kontur boleh dimulakan pada bahagian yang mahu disembunyi atau ditonjolkan seperti dagu, tulang pipi, hidung dan bentuk muka. Menerusi teknik ini, wajah akan tampak cantik, sempurna dan menyerlahkan kejelitaan.

Selain itu, penggunaan penyembur pada wajah yang sudah disolek dapat mengekalkan solekan lebih lama dan mengurangkan wajah kelihatan terlalu tebal lapisan solekannya.

Kemudian, gunakan pensel mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensil mata tidak terlalu gelap.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak. Pilihan warna untuk tampak muda dan segar iahah warna cerah. Elakkan warna gelap kerana ia akan menampakkan wajah lebih garang atau tua daripada usia.

Kemaskan bahagian bulu mata menggunakan maskara. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Langkah demi langkah:

1. Mulakan konturan pada pipi, dengan sapuan bedak kompak. Layangkan bedak itu beberapa kali supaya menonjolkan tulang pipi. Kontur ini bertujuan supaya bentuk pipi di dalam televisyen atau gambar tampak kecil dan terbentuk.

2. Tumpukan kepada bahagian dagu supaya tampak lebih runcing. Gunakan tona warna sama dengan kulit, namun dilapisi banyak lapisan.

3. Untuk membentuk hidung, mulakan dari bawah menggunakan berus kecil. Elakkan daripada atas, kerana menampakkan hidung kembang.

4. Bagi dahi, ratakan bedak kompak yang digunakan untuk pembayang itu hingga ke atas kening, supaya dahi tidak nampak luas sekali gus wajah tampak lebih sempurna.

INFO

Teknik solekan kontur:

  • Trend mekap kontur mula digemari sejak dua tahun dan mula diminati apabila selebriti Kim Kardashian mempopularkannya.
  • Ia pilihan untuk wanita inginkan wajah tirus secara semula jadi tanpa prosedur pembedahan plastik.
  • Bentuk wajah tembam sesuai lakukan teknik kontur.
  • Bentuk wajah lonjong tidak disarankan kerana ia akan menyebabkan wajah lebih lonjong.
Berita Harian X