Jumaat, 7 Oktober 2016 | 12:32am

Rooney tetap senjata berguna buat United - Shearer


WAYNE Rooney ketika menjalani latihan di St. George's Park, Burton. - Foto Reuters

LONDON: Kapten England, Wayne Rooney masih "memainkan peranan yang penting" di Manchester United, kata bekas penyerang England, Alan Shearer.

Pengkritik BBC itu mengeluarkan pendapatnya selepas Rooney digugurkan oleh pengurus United, Jose Mourinho daripada kesebelasan utama berikutan permulaan buruk kelab itu musim ini.

Penyerang utama Red Devils itu hanya meledak dua gol dalam 18 penampilan terakhirnya di Liga Perdana Inggeris sebelum diletakkan di bangku simpanan ketika United menang 4-1 ke atas Leicester City.

Rooney mengakui tindakan pengurus kelahiran Portugal itu tepat dan bertekad untuk bekerja keras dan berusaha untuk memenangi kembali kedudukannya dalam pasukan utama.

Kali terakhir Rooney keluar daripada bangku simpanan ialah ketika pertembungan dengan Stoke City yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Old Trafford.

Sekali pun sudah lama tidak disenarai sebagai pemain utama di United, bekas penyerang Newcastle, Shearer percaya masih banyak yang boleh ditawarkan oleh Rooney.

"Dia masih memainkan peranan yang besar di sana dan tiada keraguan mengenainya," kata Shearer.

"Saya fikir dia sendiri mengerti yang dia tidak lagi sepantas seperti dulu namun ia berlaku kepada semua orang, kamu tidak memerlukan orang lain untuk memberitahu kamu mengenai perkara itu..

"Dia juga mengetahuinya dan mungkin sudah bosan dengan orang yang sentiasa mengingatkannya namun masih banyak yang boleh dia tawarkan."

Rooney ketika ini sedang dalam persediaan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Malta dan Slovenia di bawah bimbingan jurulatih sementara, Gareth Southgate. - Agensi

Berita Harian X