Jumaat, 7 Oktober 2016 | 11:40am

Nilai eksport koko negara RM2.7b hingga Jun tahun ini


- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Industri koko yang menjadi antara peneraju utama sektor komoditi negara menyumbang nilai eksport sebanyak RM5.02 bilion, tahun lalu.

Penjanaan pendapatan eksport itu adalah jumlah tertinggi pernah dicapai industri koko yang disokong oleh peningkatan permintaan dan harga produk koko yang berada pada paras memberangsangkan.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pendapatan eksport koko negara mencecah RM2.7 bilion.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata industri koko menyumbang kira-kira RM1.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tahun lalu.

Katanya, sumbangan itu meliputi sektor huluan sebanyak RM16 juta, manakala sektor hiliran sebanyak RM1.406 bilion.

"Selain itu, industri koko menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 25,000 warga tempatan di pelbagai bidang sektor huluan dan hiliran koko.

"Pembangunan pesat kedua-dua sektor pengisaran koko dan pengilangan coklat masing-masing menyumbang sebanyak 73.1 peratus dan 9.4 peratus kepada jumlah pendapatan eksport koko dan produk koko pada 2015," katanya pada majlis perasmian Hari Koko dan Coklat Malaysia (MCCD) 2016 di Pusat Pameran Mid Valley, di sini, hari ini.

Teks ucapan dibacakan Pengerusi Lembaga Pengelola Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh.

MCCD 2016 anjuran Lembaga Koko Malaysia adalah program berbentuk promosi yang dianjurkan bersempena sambutan Hari KoKo Sedunia yang di sambut 1 Oktober lalu.

Objektif penganjuran program itu adalah untuk meningkatkan pasaran dan penggunaan koko dalam kalangan pengguna tempatan, di samping mempromosikan kepelbagaian kegunaan, khasiat dan kebaikan koko.

Berita Harian X