Jumaat, 7 Oktober 2016 | 4:36pm

8 lelaki sindiket curi motosikal ditahan

KETUA Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid. - Foto Danial Saad

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan lapan lelaki selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan sindiket curi motosikal sekitar daerah ini, sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata pihaknya melancarkan Ops Lejang mulai Selasa lalu, susulan peningkatan kes curi motosikal di kawasan berkenaan.

Setakat malam tadi, katanya, dua serbuan dilakukan dan polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 45 tahun.

"Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Tasek Gelugor, Selasa lalu, kita menahan empat suspek dan merampas dua motosikal serta pelbagai alat ganti yang dileraikan.

"Berikutan penahanan ini, kami melakukan satu serbuan susulan di daerah ini malam tadi dan menahan empat lagi suspek serta merampas tiga motosikal disyaki dicuri," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Nik Ros berkata, semua suspek direman empat hari mulai hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Berita Harian X