Sabtu, 8 Oktober 2016 | 12:06am
PELAKON, Rita Rudaini Mokhtar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
RITA dan Donna Muslim.

Lelaki muda pilihan Rita?


SELEPAS dua kali gagal dalam melayari mahligai bersama lelaki lebih muda, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 40, nampaknya tidak menjadikan hakikat itu sebagai alasan untuknya membenci golongan berkenaan.

Begitupun, ia juga bukan bererti dengan mudah dirinya menerima lelaki 'junior' ke dalam hidupnya. Selepas keruntuhan rumah tangga bersama pemain bola, Aidil Zafuan Abd Razak, kira-kira lima tahun juga ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 7, dan Airit Qaqa Arjuna, 5, ini menyendiri, sebelum membuka ruang untuk dirinya kembali didekati.

Kini, wanita terbabit digosip mempunyai hubungan intim bersama pengacara HLive!, pemuda yang 13 tahun lebih muda daripadanya, Donna Muslim. Justeru, tidakkah Rita bimbang dengan tanggapan dirinya lebih selesa bersama lelaki muda?

Tidakkah juga beliau takut andai pisang berbuah dua kali apabila memilih jejaka lebih muda daripada sebagai pasangan hidup?

"Saya tidak pernah peduli dengan persepsi orang. Apapun tanggapan atau pandangan mereka, itu hak masing-masing. Hanya saya mengenali diri dengan lebih jelas.

"Berikutan selalu dikelilingi lelaki muda, orang luar mula melemparkan tuduhan sebegitu terhadap saya. Saya berkawan dengan sesiapa saja. Mereka datang dengan baik, saya juga sambut dengan baik.

RITA bersama anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

"Selain Donna, beberapa kawan saya yang lain juga lebih muda. Tidak semestinya berkawan dengan orang sebaya atau lebih tua menjanjikan kebahagiaan. Apa yang penting dalam persahabatan adalah hati yang jujur dan ikhlas kerana Allah. Insya-Allah hubungan berkekalan," katanya.

Mengenai persahabatannya dengan Donna, Rita mengaku pemuda terbabit ialah lelaki yang paling rapat dengannya saat ini. Begitupun, hubungan mereka tidaklah membabitkan soal hati.

"Sejak kembali solo, saya tidak pernah lagi memikirkan soal jodoh. Bagi saya mudah, jika tertulis ada (jodoh), adalah. Saya tidak tahu apakah diri disukai atau sebaliknya? Saya tidak pernah ambil tahu mengenainya. Hati saya hanya untuk anak-anak. Jika lelaki yang mendekati tidak berterus-terang, saya tidak akan tahu," katanya.

Namun, menerusi beberapa foto yang menjadi viral di laman sosial, Rita seolah-olah mengiyakan kenyataan seperti dirinya kini dilamun cinta. Justeru, apa komen wanita jelita berasal dari Perlis ini?

"Gambar yang tersebar itu menemukan saya dan Donna untuk sebuah projek fotografi. Sebagai model, menjadi tanggungjawab kami untuk menghidupkan gambar yang dirakamkan. Ia sama seperti lakonan yang memerlukan keserasian. Alhamdulillah, Donna memberikan kerjasama yang baik. Tidak sangka pula foto itu menjadi viral," jelas Rita.

Ditanya apakah anak mengetahui keakraban antara mereka, Rita memberitahu, Donna memang mesra dengan dua anaknya.

RITA kini digosip mempunyai hubungan intim bersama pengacara HLive!, Donna Muslim.

RITA bersama anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

Katanya, andai dirinya ditakdirkan bertemu jodoh buat kali ketiga, beliau amat berharap lelaki yang hadir ke dalam hidupnya itu menyayangi anaknya seperti darah dagingnya sendiri.

"Mereka sudah lama menderita, jadi dalam setiap apa yang dilakukan saya mengutamakan anak. Saya boleh tahu, jika lelaki itu ikhlas mendekati anak-anak kerana aura itu akan kelihatan. Tidak dinafikan, Donna mesra dengan anak saya. Segan juga melihat caranya melayani mereka. Arjuna agak manja dengan Donna, mungkin kerana dirinya tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa.

"Namun begitu, ketika ini, hati saya hanya terbuka untuk berkawan. Saya belum bersedia berfikir terlalu jauh kerana selesa hidup sendiri. Jika ditakdirkan bertemu jodoh, saya akan berkahwin kerana anak-anak. Diikutkan hati, saya sudah malas memikirkan soal jodoh. Apa yang penting, lelaki itu harus menyayangi anak saya sepenuh hati. Tidak mengapa jika kasih dan sayang terhadap saya diletakkan pada tempat kedua," katanya.

Berita Harian X