Sabtu, 8 Oktober 2016 | 1:09am

Johan juara Super Spontan Superstar

JOHAN dinobatkan juara Super Spontan Superstar Akhir. - Foto Saifullizan Tamadi.

SERDANG: Pelawak, Johan dinobatkan sebagai juara program realiti, Super Spontan Superstar Akhir yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebentar tadi.

Johan daripada kumpulan Monyet Mafia menumpaskan lima peserta akhir lain menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton dan membawa pulang wang tunai RM100,000.

Abam daripada kumpulan Harimau Hipster dan Achey (Monyet Mafia) pula dipilih sebagai naib juara dan pemenang tempat ketiga. Masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM50,000 dan RM20,000.

Tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing dimenangi Fad Bocey, Ozlyn dan Tauke. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Program yang bersiaran selama 10 minggu itu dihoskan oleh Datuk AC Mizal dengan pengacara iringan, Amir Raja Lawak.

Pada awal pertandingan, Monyet Mafia dan Harimau Hipster menampilkan 15 peserta terdiri daripada pelakon, pelawak dan penyanyi.

Namun, enam peserta akhir terpaksa bersaing secara solo bagi merebut gelaran juara yang diadili sepenuhnya menerusi undian penonton.

Peringkat akhir yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna itu turut diserikan dengan pengulas jemputan, Datuk Hans Isaac. Ayda Jebat, Zizan Razak, Tomok dan Black Hanafiah pula sebagai peserta jemputan.

Berita Harian X