Sabtu, 8 Oktober 2016 | 1:00pm

Kritikan tak bunuh semangat Fazura terus menyanyi


PELAKON, Nur Fazura Sharifuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Kritikan negatif yang dilemparkan netizen ekoran nyanyiannya yang didakwa sumbang ketika membuat persembahan pembukaan konsert F1 di Sepang, minggu lalu tidak membunuh semangat Nur Fazura Sharifuddin untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya.

Tegas Fazura, mereka juga tidak berhak untuk menentukan hala tuju hidupnya dengan memintanya melupakan dunia seni suara dan memberi fokus kepada lakonan sahaja.

"Saya tidak mahu anggap mereka dengki kerana kita tidak tahu apa sebenarnya niat mereka. Kalau saya ikutkan juga kehendak pihak yang mengkritik, mereka akan tetap mencari kesilapan kita dan bercakap apa saja," katanya.

Fazura berkata, bukan hanya dirinya sebaliknya penyanyi tempatan yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna turut berdepan kecaman apabila netizen menyarankannya supaya membuka tudung ekoran satu kontroversi, baru-baru ini.

"Lihat di mana Yuna sekarang? Jadi saya tidak akan tunduk kepada komen negatif seperti itu. Kalau komen itu membina, saya akan terima," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pakaian seragam terbaharu syarikat penerbangan Firefly di Zebra Square, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, tetamu turut dipertontonkan muzik video rasmi syarikat penerbangan berkenaan yang berjudul Like Firelies. 

Lagu ciptaan kumpulan Estranged itu disampaikan Fazura bersama dua penyanyi lain iaitu Ning Baizura dan Taufik Batisah.

Menceritakan insiden yang berlaku pada hari itu, Fazura berkata, beliau hanya mengetahui nyanyiannya menjadi viral selepas dimaklumkan rakannya.

"Ketika membuat persembahan, saya lihat ramai penonton terhibur dan menari serta menyanyi bersama. Bagaimanapun, ketika menyampaikan lagu Sayangi Diriku, berlaku masalah teknikal apabila saya tidak dapat mendengar suara sendiri.

"Bukan hanya saya tetapi masalah itu turut membabitkan penyanyi latar saya. Apapun saya teruskan juga persembahan. Tiba-tiba saya dapat tahu bahagian itu yang diviralkan.

"Saya tak tahu apa tujuan pihak yang memviralkan video itu? Saya tidak mahu menganggap mereka dengki kerana kita tidak boleh baca hati orang lain," kata wanita berusia 33 tahun ini.

Mengakui meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi, pemegang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini berkata, dia menjadi penyanyi bukan untuk membuktikan apa-apa.

"Saya menyanyi kerana itu adalah impian sejak kecil. Bagaimanapun rezeki saya lebih memihak kepada bidang lakonan. Justeru apabila diberi peluang untuk menyanyi, saya tidak menolak.

"Kalau saya menyanyi untuk membuktikan sesuatu, sudah lama saya belajar vokal untuk memastikan saya juga setaraf penyanyi hebat lain. Tetapi saya menyanyi untuk berseronok.

"Disebabkan itu, untuk single pertama saya pilih lagu Sayangi Dirimu yang bermesej positif dan memberi inspirasi kepada peminat," katanya.

Berita Harian X