Sabtu, 8 Oktober 2016 | 6:00pm

APMM buat 10 tangkapan

MASJID TANAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5) di sini, melakukan 10 tangkapan atas pelbagai kesalahan, antara Januari hingga September lalu.

Pengarah Wilayah Maritim Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan, berkata antara kes yang berjaya dikesan DM5 ialah pencerobohan kawasan, penyalahgunaan dadah dan jenayah kapal korek.

"Menerusi rondaan berkala anggota APMM DM5 setiap hari itu, empat tangkapan masing-masing membabitkan kes pencerobohan bot pancung dan penyalahgunaan dadah, manakala dua lagi berkaitan kapal korek mencuri pasir.

"Statistik ini menunjukkan APMM sentiasa peka dengan sebarang permasalahan yang membabitkan perairan negara dan kami berusaha keras dalam menangani masalah pencerobohan," katanya selepas merasmikan Program Sahabat Maritim DM5 di Pangkalan Persatuan Nelayan Melaka Barat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Pada program yang turut dihadiri Pengarah APMM DM5, Kepten Mazlan Mat Rejab itu, komuniti nelayan diberi peluang mengemukakan pertanyaan kepada APMM berhubung masalah yang dihadapi mereka di perairan.

Sementara itu, Adon berkata, tujuh kes direkodkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang tempoh sama, manakala tiada kes membabitkan rompakan di laut, berbanding lapan kes tahun lalu.

44 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »