Ahad, 9 Oktober 2016 | 12:13am
PENGUNJUNG tertarik dengan replika dinosaur yang terdapat di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu). - Foto Samadi Ahmad
DATUK Heng Keng Seng menunjukkan replika dinosaur yang terdapat di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu). - Foto Samadi Ahmad
TIADA sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung yang datang ke Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu). - Foto Samadi Ahmad

40 replika dinosaur jadi tarikan nurseri di Muar


MUAR: Minat mendalam kepada haiwan prasejarah, mendorong seorang pengusaha tapak semaian di sini, menghiasi kawasan diusahakannya dengan replika dinosaur.

 

Sejak dibuka kepada orang ramai kira-kira tiga bulan lalu, Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu), yang dahulunya dikenali sebagai Don Hu Nursery dekat Jalan Pintasan Muar, sentiasa dikunjungi orang ramai yang tertarik keunikan taman itu.

Menjejakkan kaki di taman itu memberi pengalaman mirip kepada filem Jurassic Park, yang cukup popular suatu masa dahulu kerana menampilkan dinosaur yang seolah olah hidup dan menunggu mangsanya.

 

Pengusaha Don Hu, Datuk Heng Keng Seng, 57, berkata tapak semaian terbabit dibuka sejak 2012 dan pada awalnya menjual  bonsai bunga kemboja (adenium), podocarpus dan kelengkapan taman.

 

Beliau mengakui meminati haiwan prasejarah sejak dari kecil lagi dan ingin berkongsi minat itu dengan orang ramai, sekali gus mendorongnya menghias tapak semaiannya dengan patung dinosaur yang boleh bergerak.

 

Katanya, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung walaupun datang semata-mata hanya untuk melihat dinosaur dan bukannya bagi membeli barangan yang dijual di situ.  

 

REPLIKA dinosaur di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu) di Jalan Pintasan Muar. - Foto Samadi Ahmad

DATUK Heng Keng Seng menunjukkan bonsai bunga kemboja yang terdapat di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu). - Foto Samadi Ahmad

"Saya bina taman ini kerana mahu bagi peluang kepada orang ramai membawa anak-anak dan keluarga berhibur di taman ini memandangkan tidak banyak pilihan tempat untuk berhibur di kawasan ini.

 

"Setakat ini, ada 40 replika dinosaur yang setiap satu berharga puluhan ribu ringgit bergantung kepada saiz, yang ditempah daripada seorang kenalan dari Guangzhou, China,"  katanya.

Antara replika dinosaur yang ada di taman itu ialah spesies Tyrannosaurus, Triceratops, Stegosaurus, Brachiosaurus, Oviraptor, Apatosaurus, Allosaurus, Parasaurotophus, Pteronodon dan Pachycephalosaurus.

 

Di tapak semaian seluas 5.6 hektar itu, Keng Seng membuka sebuah ruang pameran menjual pelbagai bentuk batu kristal yang diimport dari luar negara, selain mempamerkan koleksi barangan antik yang dikumpulnya sejak beberapa tahun lalu.

 

Beliau yang turut menawarkan khidmat ubahsuai taman di seluruh Johor, mengakui rasa gembira apabila orang ramai berkunjung ke premisnya dan mengalu-alukan pengunjung terutama  yang berkongsi minat serta hobi yang sama dengannya.

Keng Seng juga bercadang meluaskan lagi taman Don Hu yang sedia ada, sekali gus menjadikannya salah satu produk pelancongan baharu di Johor.

 

"Saya buka taman ini supaya orang ramai dapat mengenali daerah Muar. Apa yang lebih penting ialah kepuasan diri di samping berkongsi minat bersama orang ramai dan bukannya mengejar keuntungan semata mata.

DINOSAUR yang terdapat di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu) setiap satu berharga puluhan ribu ringgit bergantung kepada saiz.

 

RUANG pameran pelbagai bentuk batu kristal yang diimport dari luar negara yang terdapat di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu). - Foto Samadi Ahmad

ANTARA batu kristal yang terdapat di Don Hu Jurassic Park Garden (Don Hu). - Foto Samadi Ahmad

"Bagi menampilkan dinosaur ini seolah-olah hidup, saya melabur sejumlah besar wang bagi menyediakan sistem bunyi yang canggih, selain memasang peralatan elektronik bagi mewujudkan pergerakan pada setiap replika.

 

"Sejak dibuka, sudah ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke taman ini serta menyatakan rasa teruja mereka kepada saya selepas melihat dinosaur di taman ini," katanya.

   

Pengunjung berpeluang merakam gambar kenangan bersama replika dinosaur di samping membeli bunga bonsai kemboja pelbagai spesies merangkumi lebih 1,000 jenis warna serta cenderamata yang menarik.

Berita Harian X