Ahad, 9 Oktober 2016 | 7:08am

Neuvo Centro projek komersial terbaharu UDA Holdings

NUEVO Centro.
NUEVO Centro.

UDA Holdings Bhd menjangkakan projek komersial terbaharunya, Neuvo Centro, yang bernilai lebih RM55 juta di Bandar UDA Utama, Johor akan menjadi pusat perniagaan dinamik serta mampu memenuhi keperluan pelabur.

  Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ahmad Abu Bakar, berkata kedai pejabat tiga tingkat yang menawarkan 33 unit komersial itu menerima sambutan memberangsangkan apabila hampir 90 peratus unit sudah dijual setakat ini.

  Katanya, Neuvo Centro yang dimajukan menerusi anak syarikat, UDA Land (South) Sdn Bhd, akan menempatkan pelbagai perniagaan dan perkhidmatan termasuk perbankan, klinik, restoran, kafe dan pusat tuisyen yang bakal merancakkan lagi pembangunan di kawasan itu.

  "Neuvo Centro yang berstatus pegangan bebas dibangunkan di lokasi strategik dan mengalami pembangunan pesat. Ia menyediakan akses dari Taman Perling, Taman Nusa Bestari, Taman Tan Sri Yacob dan Taman Sutera Utama, yang dijangka menjadi faktor menarik pelabur.

  "Lokasi, kebolehcapaian dan kehendak pelabur sentiasa menjadi keutamaan syarikat dalam strategi pembangunan komersial, selain memastikan ia memenuhi standard kualiti dalam usaha memastikan rekod prestasi cemerlang syarikat selama ini," katanya ketika ditemui di Johor Bahru, baru-baru ini.

Beliau berkata, UDA Holdings berusaha memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan yang mana syarikat sentiasa menjalankan kajian pasaran terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu projek pembangunan.

  "Menerusi pelan pemasaran yang agresif dan pakej jualan yang baik, Neuvo Centro menerima sambutan memberangsangkan dan penyerahan kunci unit berkenaan dijangka dibuat pada akhir November ini," katanya.

  Ahmad berkata, Neuvo Centro menawarkan pakej jualan menarik dengan pemilikan mudah, termasuk bayaran deposit hanya RM3,000 serta yuran guaman perjanjian jual beli, setem duti dan kos pindah milik ditanggung pemaju (peguam panel).

  Katanya, yuran guaman dan setem duti untuk perjanjian pinjaman serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga ditanggung pemaju.

  Dalam pada itu, beliau berkata projek Neuvo Centro juga akan menjadi antara projek penting UDA Land (South) bagi mencapai sasaran jualan tahun ini, selepas berjaya merekodkan jualan yang memberangsangkan tahun lalu.

  "Kami akan membangunkan lebih banyak projek hartanah bercampur di Pusat Bandar Tampoi dan Bandar UDA Utama tahun depan, dengan tumpuan terhadap pembinaan hartanah teres dua tingkat, teres superlink dan kedai pejabat dua dan tiga tingkat," katanya.

Simpanan tanah yang masih belum dibangunkan di Pusat Bandar Tampoi adalah 11.6 hektar, manakala Bandar UDA Utama sebanyak 91.6 hektar.

Fakta Neuvo Centro

# kedai pejabat tiga tingkat

# pegangan bebas

# berukuran 22'x75'

# harga dari RM1.62 juta *(Bumiputera)

# Kemudahan akses mudah ke Linkedua Singapura, Iskandar Puteri dan lebuh raya utama

# terletak di lokasi strategik dengan tambahan anggaran populasi seramai 200,000 orang berdekatan Taman Tan Sri Yacob dan Taman Sutera Utama

Berita Harian X