Ahad, 9 Oktober 2016 | 4:15pm

Sasar 1,000 belia India sertai institut kemahiran tahun ini

GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Unit Khas Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), meluluskan pelbagai program merangkumi sektor seperti minyak dan gas (O&G), hospitaliti, pembuatan, pelancongan dan logistik yang akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 belia India pada tahun ini.

Menerusi inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bersetuju menubuhkan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS), ia akan memberi fokus kumpulan berisiko tinggi terutama golongan India B40.

Pengarah SEDIC Jabatan Perdana Menteri (JPM), Prof Datuk Dr NS Rajendran, berkata sebanyak 22 program latihan disediakan sepenuhnya oleh unitnya untuk manfaat belia India yang tercicir dari aliran pendidikan utama.

Beliau berkata, pelajar akan diberi diberi elaun bulanan serta penginapan sepanjang latihan dijalankan dan pada akhir kursus, mereka akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi melayakkan bekerja dalam pelbagai industri.

"Proses penilaian permohonan perlu melalui beberapa peringkat yang ketat antaranya dilakukan oleh pegawai SEDIC diikuti sesi pembentangan di hadapan Pengarah SEDIC sebagai wakil penilai sebelum dibawa untuk dinilai Jawatankuasa Penilaian Projek.

"Keputusan penilaian kemudiannya dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk pengesahan sebelum mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan Lembaga Perolehan JPM," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rajendran menyarankan belia India daripada kelompok B40 (pendapatan keluarga kurang dari RM3,000) memohon program di bawah institut ini.

Pada tahun lalu, sebanyak 270 permohonan diterima oleh ILKS di mana belia terpilih perlu melalui tempoh setahun pembelajaran di institut berkenaan.

Sebanyak 21 ILKS dipilih bagi menjayakan inisiatif membantu meningkatkan kemahiran belia India supaya dapat bersaing dalam industri masa kini.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.sedic.my.

Berita Harian X