Ahad, 9 Oktober 2016 | 11:25pm
PENGANJUR Cabaran Ekstrim Langkawi membatalkan acara kayak yang baru diperkenalkan dalam perlumbaan tahun ini berikutan cuaca buruk hari ini.

Kayak Ekstrim Langkawi dibatal bagi elak risiko

LANGKAWI: Penganjur Cabaran Ekstrim Langkawi membatalkan acara kayak yang baru diperkenalkan dalam perlumbaan tahun ini berikutan cuaca buruk hari ini.

Akademi Pelancongan Langkawi (LTA) mengambil keputusan itu tiga jam sebelum perlumbaan tahunan kali kelapan itu bermula, berikutan keadaan laut yang bergelora.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md Noor berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia menasihatkan mereka untuk membatalkan acara kayak itu.

"Kami mematuhi nasihat itu demi keselamatan peserta. Kami tidak mahu mengulangi insiden perlumbaan go-kart di Indera Mahkota (yang menyebabkan seorang bapa dan anaknya yang berusia lima tahun terkorban akibat dilanggar go-kart pada 25 Oktober)," katanya

Bagaimanapun, katanya penganjur masih mahu mengadakan acara kayak untuk edisi tahun depan dan berharap keadaan cuaca lebih baik ketika itu.

LTA atau Kolej Komuniti Langkawi adalah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti.

Cabaran Ekstrim Langkawi tahun ini berjaya menarik penyertaan 28 pasukan.

Pembatalan acara kayak menyaksikan peserta hanya mengharungi acara mendaki sejauh 3.1km dari Lubuk Semilang ke Gunung Raya dan larian 20.6km dari puncak tertinggi di pulau itu ke pantai Tanjung Rhu.

Di antara pendakian dan larian itu, peserta perlu melakukan dua tugasan iaitu melastik sasaran yang ditetapkan dan menyediakan Kerabu Beronok, satu daripada makanan istimewa tempatan.

Politeknik Sultan Ahmad Shah Pahang muncul juara kategori institusi pengajian tinggi manakala Spartan memenangi kategori terbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan yang menyampaikan hadiah kepada pemenang berkata perlumbaan itu bertepatan dengan rancangan kerajaan untuk mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X