Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:42pm

Pemberontak Yaman tembak 2 peluru berpandu ke arah kapal AS

WASHINGTON: Sebuah kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat menjadi sasaran serangan peluru berpandu dari wilayah Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi yang disokong Iran, kata jurucakap tentera AS kepada Reuters.

Cubaan serangan ke atas USS Mason berlaku seminggu selepas sebuah kapal Emiriah Arab Bersatu (UAE) diserang puak Houthi, sekali gus menggambarkan risiko ke atas tentera AS susulan konflik Yaman meningkat

Kerajaan AS yang semakin lantang bersuara mengenai korban orang awam dalam perang, semalam mengumumkan untuk menilai semula sokongan terhadap pakatan yang dipimpin Arab Saudi menentang Houthi selepas serangan ke atas satu upacara pengebumian di ibu negara Sanaa mengorbankan sehingga 140 orang.

Menurut tentera AS, serangan peluru berpandu ke atas USS Mason yang gagal itu bermula sekitar jam 7 malam waktu tempatan, apabila kapal itu mengesan dua peluru berpandu dalam tempoh 60 minit di Laut Merah dekat luar pantai Yaman.

"Kedua-dua peluru berpandu itu meletup di dalam air sebelum sampai ke kapal," kata jurucakap Pentagon Captain Jeff Davis.

"Tiada anak kapal yang cedera dan tiada kerosakan kepada kapal dilaporkan."

Arab Saudi dan Amerika Syarikat menyalahkan Iran membekalkan senjata kepada Houthis.

Tehran menyifatkan Houthi yang berasal dari mazhab Syiah, sebagai kuasa yang sah di Yaman tetapi menafikan ada membekalkan mereka dengan senjata.

Menurut seorang pegawai tentera yang enggan dikenali, USS Mason tidak melakukan serangan balas dalam kejadian yang berlaku di utara Selat Bab al-Mandeb di luar pantai selatan Yaman.

Serangan minggu lalu ke atas kapal UAE juga berlaku sekitar Selat Bab al-Mandeb, dalam apa yang disifatkan UAE sebagai tindakan keganasan. - Reuters

363 dibaca
Berita Harian X