Isnin, 10 Oktober 2016 | 2:06pm

Trump, Clinton bertikam lidah

HILLARY Clinton dan Donald Trump. - Foto AFP

ST LOUIS: Sesi debat kedua calon presiden AS terus jadi medan bertikam lidah hingga Hillary Clinton mengatakan komen kesat Donald Trump terhadap wanita mendedahkan keperibadian sebenarnya dan membuktikan beliau tidak layak menjadi presiden.

Trump membalas dengan menuduh Hillary menyerang wanita yang dikaitkan dengan kecurangan Bill Clinton dan berikrar Hillary akan "berada di penjara" jika beliau menjadi Presiden.

Trump berkali-kali memanggil Hillary seorang pembohong, melabelnya sebagai syaitan dan menegaskan "terlalu banyak kebencian di dalam hatinya."

Sesi tegang antara Trump dan Hillary ketara sejak awal debat 90 minit itu apabila mereka tidak berjabat tangan seperti pertemuan pertama.

Trump yang bergelut ketika diminta memperinci soal dasar hanya mampu berlegar di sekitar soalan bagaimana dia akan menggantikan undang-undang penjagaan kesihatan Presiden Barack Obama.

Sejenak, Hillary dan Trump melupakan perbezaan antara mereka apabila ditanya mengenai perkara paling dihormati mengenai pihak lawan.

Hillary berkata, beliau menghormati anak-anak Trump, menyifatkan mereka sangat berkemampuan dan setia.

Seolah meminjam slogan kempen Hillary, Trump menyifatkan pesaingnya sebagai pejuang.

"Dia tidak pernah mengalah, dia tidak pernah putus asa dan saya sangat menghormatinya." - AP

Berita Harian X