Isnin, 10 Oktober 2016 | 5:35pm

Sedania Innovator dan U Mobile lancar Creditshare

DARI kiri: Pengarah Eksekutif Sedania Innovator, Firoz Mohd Noor; Pengarah Sedania Innovator, Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid; Jasmine; dan Azrin.

KUALA LUMPUR: Syarikat pemerkasaan teknologi, Sedania Innovator Bhd, dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih U Mobile Sdn Bhd, meraikan peristiwa penting dalam kerjasama perniagaan serta pembangunan teknologi dengan pelancaran perkhidmatan U Mobile CreditShare hari ini.

Dengan pelancaran itu, pelanggan prabayar U Mobile kini boleh memindah atau meminta kredit mudah alih daripada pengguna lain melalui USSD Menu Browser (UMB), aplikasi MyUMobile, SMS atau melalui Web.

Pelanggan U Mobile yang ingin memindahkan kredit kepada pelanggan prabayar U Mobile yang lain hanya boleh melakukannya melalui USSD Browser Menu (UMB) dan SMS atau menggunakan aplikasi ShareShare yang boleh didapati dari Google Play dan iOS App Store prabayar.

Pengarah Urusan Sedania Innovator, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata kerjasama antara Sedania dengan U Mobile merancakkan lagi industri telekomunikasi, selain memberikan kebaikan kepada pelbagai pihak.

Menerusi teknologi itu, katanya, pelanggan U Mobile tidak lagi dibelenggu masalah kredit terutama dalam membuat panggilan penting atau kecemasan kerana ia membolehkan pelanggan U Mobile untuk berkongsi kredit dengan mudah dan berkesan.

"Lebih penting lagi, mereka boleh merancang ke hadapan untuk menghantar dan meminta kredit mudah alih dengan cara yang cepat, selamat dan mudah di mana saja mereka berada serta bila-bila masa yang mereka mahu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk menambah nilai dan meningkatkan mutu pengalaman pelanggan dalam menggunakan perkhidmatannya.

"Kami dapati pemindahan kredit mudah alih adalah suatu kaedah yang sangat popular untuk pengguna prabayar berkongsi kredit dengan keluarga atau rakan. Justeru, U Mobile percaya perkhidmatan CreditShare yang berkuat kuasa bulan lalu akan diterima baik pelanggan sedia ada dan baru kami," katanya.

Sedania Innovator memeterai perjanjian perkongsian dengan U Mobile pada tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan CreditShare melalui platform dibangunkan Sedania Innovator.

Bersempena pelancaran perkhidmatan CreditShare, Sedania Innovator dan U Mobile mengadakan pertandingan yang mana pelanggan U Mobile berpeluang memenangi hadiah menarik apabila mereka menggunakan perkhidmatan CreditShare untuk berkongsi kredit dengan ahli keluarga dan rakan dalam rangkaian.

Dalam tempoh 12 minggu akan datang, bermula 10 Oktober 2016, penyelesaian 'peer-to-peer' dinamik itu menawarkan 15 unit telefon pintar kepada pelanggan prabayar U Mobile yang memindahkan kredit telefon bimbit dalam tempoh peraduan kepada ahli keluarga dan rakan.

Mereka memiliki peluang lebih tinggi untuk menang sekiranya menggunakan perkhidmatan itu secara tetap. Kempen akan berakhir pada 1 Januari 2017.

Bagi setiap pelanggan yang menggunakan perkhidmatan bahagian kredit sepanjang tempoh peraduan, mereka akan berpeluang untuk memenangi skuter Yamaha Nmax.

Pelanggan tidak perlu mendaftar untuk mengambil bahagian. Pemenang akan dipilih daripada sekumpulan pelanggan yang layak.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan ini, sila layari www.u.com.my/plans/prepaid/creditshare.

Berita Harian X