Selasa, 11 Oktober 2016 | 12:04am

Awasi perangkap maut pusaran air

KUALA LUMPUR: Mengikut perangkaan 2015 - seramai 336 orang lemas dalam setahun atau 0.92 orang setiap hari di negara ini dalam kejadian di sungai, tali air, pantai, tasik, lombong, air terjun dan pembetung.

Paling tragis lima sekeluarga - pasangan suami isteri serta tiga anak mereka lemas dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu ketika cuti persekolahan pada Disember lalu.

Dalam kejadian terbaru Isnin lalu, tiga penuntut universiti lemas di Air Terjun Lubuk Jepun, Batu 16 dekat Gombak, Selangor, bermula apabila salah seorang daripada mereka cuba mengambil selipar yang terjatuh di tebing sebelum terjatuh dalam pusaran air.

Sampai bilakah kes membabitkan kematian terutama di pusat rekreasi air terjun akan terus berlaku. Apakah langkah keselamatan dan papan tanda tidak dipasang sehingga pengunjung tidak mengambil langkah pencegahan ketika mengunjungi kawasan riadah itu.

Adakah rakyat negara ini masih kurang kesedaran di kawasan berkenaan sehingga mengabaikan aspek keselamatan ataupun pihak berkuasa masih tidak peka untuk menempatkan pegawai penyelamat atau sebarang infrastruktur amaran bagi membendung perkara tidak diingini berlaku.

   Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, pernah berkata hal ini harus diberi perhatian oleh semua pihak selain menyarankan agar aspek keselamatan serta kesedaran dalam kalangan masyarakat dipertingkatkan apabila melakukan kegiatan air.

Beliau berkata, garis panduan juga perlu disediakan di setiap tempat perkelahan - sungai dan pantai antara usaha bagi membendung atau mengurangkan kadar kematian akibat lemas.

Mengulas isu itu, Timbalan Pengerusi Perkongsian Air Malaysia (MyWP), Datuk Hanapi Mohamad Noor, berkata punca kes lemas di tempat riadah seperti di kawasan air terjun pada kebiasaan terjadi dalam dua keadaan.

Pertama, aliran air terjun meningkat secara tiba-tiba disebabkan hujan yang berlaku di bahagian hulu sungai yang seterusnya mengakibatkan aliran air bertambah dengan kelajuan yang kuat.

"Keadaan kedua pula apabila fenomena putaran air yang boleh berlaku apabila aliran air yang berlawanan arah bertembung mengakibatkan ada halangan di bahagian hilir sungai seperti pokok tumbang merintangi sungai. 

"Mangsa yang berada di kawasan berkenaan boleh hilang kestabilan badan dan terjatuh lemas," katanya ketika dihubungi BH.

Hanapi berkata, kombinasi dua faktor iaitu peningkatan aliran air yang mendadak dan pusaran air juga punca mampu mengakibatkan mangsa lemas.

   Oleh itu, beliau mencadangkan kawasan air terjun yang popular sebagai pusat rekreasi dan riadah di pasang stesen siren automatik yang dirangkaikan dengan stesen hujan di bahagian hulu sungai.

Katanya, stesen siren berkenaan akan mengeluarkan bunyi kuat sebagai amaran awal apabila berlaku hujan di kawasan hulu sungai yang tidak disedari oleh pengunjung.

   "Selain itu, kawasan hilir sungai sekitar air terjun perlu sentiasa dibersihkan supaya tidak berlaku halangan kepada aliran air," katanya.

INFO

Punca lemas

 

Pusaran air

- Terhasil dari pertemuan arus berlawanan

- Memiliki aliran air ke bawah secara vertikal

- Mangsa seolah-olah ditarik ke bawah

- Pusaran kecil hanya berlaku di kawasan air terjun

- Menghasilkan pusaran berskala kuat

- Kawasan sempit menghasilkan pusaran kuat

 

Tanda terdapat pusaran air

- Sering berlaku di sungai yang mempunyai jeram

- Ketinggian air selepas hujan penentu kekuatan pusaran

- Uji kawasan dengan membuang objek seperti ranting kayu

- Jika objek itu tidak ditolak keluar menandakan air berkenaan bahaya

 

Terbahagi kepada dua

Frowning

- Berbahaya

- Pusaran air akan menarik apa sahaja objek yang melalui ke tengah jeram

Smiling

- Tidak bahaya

- Objek yang melaluinya dapat keluar dengan mudah dari sudut tepi jeram

 

Kepala air

- Gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti besar

- Mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama

- Lazimnya berpunca takungan daripada hujan lebat di hulu sungai

- Amat bahaya kerana ia menghasilkan arus besar dan deras

 

Tanda-tanda awal kejadian kepala air

- Langit gelap di bahagian hulu sungai (puncak bukit) disertai bunyi guruh kuat

- Bunyi dentuman gerakan batu atau air dari hulu sungai

- Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba

Berita Harian X