Selasa, 11 Oktober 2016 | 12:13am
FATIMAH Az-Zahraa kini sudah mampu menghafal empat juzuk Al-Quran selain aktif menyertai pertandingan hafazan di sekitar ibu negara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Usia empat tahun, hafal empat juzuk al-Quran


KUALA LUMPUR: Suara lunak dan merdu Fatimah Az-Zahraa Muafik mengalunkan ayat suci dari surah Al Muzammil cukup menyentuh perasaan hingga menusuk ke kalbu penulis, ketika kunjungan ke kediaman keluarganya, apatah lagi menyedari kanak-kanak ini baharu berusia empat tahun.

Terdetik di hati, bertuahnya kedua ibu bapa si anak ini kerana dalam usia awal sudah mampu mendidiknya menghafal Al-Quran ketika masih ramai dalam kalangan orang dewasa sendiri belum tentu dapat melakukannya.

Mula menghafal di bulan Ramadan

Mula menghafal Al-Quran sejak Ramadan tahun lalu, anak kepada pasangan warga Indonesia Muwafik Maulana dan Nunung Nurjanah, kini sudah mampu menghafal empat juzuk Al-Quran selain aktif menyertai ujian hafazan di sekitar ibu negara.

"Namun kebanyakan pertandingan yang disertainya berakhir dengan penghargaan khas kerana tiada kategori bersesuaian dengan usianya yang baharu mencecah empat tahun.

"Dia juga pernah menyertai uji bakat bagi rancangan Qari Jr Musim Kelima terbitan TV3 April tahun ini dan berjaya hingga ke peringkat kedua. Tetapi memandangkan usianya yang masih muda dia tidak dapat meneruskan penyertaan dalam rancangan itu.

"Bagaimanapun pihak penerbit menghargai kebolehan Az-Zahraa apabila mengundangnya sebagai peserta jemputan bagi peringkat akhir Qari Jr yang disiarkan stesen televisyen berkenaan sempena Hari Raya Aidilfitri lalu," kata Muwafik.

Ditanya bagaimana permulaan Az-Zahraa diajar menghafal Al-Quran, Muwafik berkata, semuanya adalah secara tidak sengaja apabila beliau menghantar anak sulungnya itu untuk belajar mengaji dengan seorang ustaz di kawasan rumah sewanya di Damansara Damai.

MUWAFIK mula mengajar anaknya seawal jam 5.30 pagi hingga jam 6.30 pagi.

Baba bagi syarat untuk mengaji

"Tetapi dia enggan meneruskan kelas berkenaan sebaliknya hanya menangis dan meminta saya yang mengajar sendiri. Saya meletakkan syarat kalau mahu "Baba" (panggilan kepada si ayah) yang mengajar perlu belajar hafazan sekali dan sejak itu dia menunjukkan minat dan cepat menghafal.

"Saya mula mengajarnya menghafal juzuk ke-30 diikuti dengan 29 dan seterusnya ke juzuk pertama. Sekarang Az-Zahra sedang menghafal juzuk ke-28," katanya yang sedang mengikuti pengajian sepenuh masa doktor falsafah dalam bidang ekonomi dan muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Muwafik berkata, dia memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam sehari mengajar Az-Zahraa menghafal yang kebiasaannya dilakukan sesudah waktu subuh yang disifatkan sebagai masa paling berkesan kerana tubuh dan minda masih segar.

Katanya, kebiasaannya seawal 5.30 pagi atau paling lewat 6.30 pagi anaknya sudah bangun dan bersedia untuk memulakan rutin menghafal atau membuat ulangan hafazan.

FATIMAH Az-Zahraa bersama adiknya Aishah Zafira. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Adik punya bakat yang sama

"Tetapi biasanya jam 4 pagi saya akan alihkan dia dari tempat tidurnya supaya dia betul-betul sedar dan bersedia selain membasahkan wajahnya.

"Memang menjadi kebiasaan Az-Zahraa juga untuk mengambil sarapan sebelum memulakan sesi hafazan bersama saya sekurang-kurangnya segelas susu segar," katanya yang meletakkan sasaran untuk memastikan Az-Zahraa menghafal Al-Quran sepenuhnya apabila berusia 10 tahun.

Muwatif berkata, selain Az-Zahraa, anak keduanya, Aishah Zafira yang kini berusia setahun 10 bulan juga dilihat mempunyai bakat yang sama seperti kakaknya dan sudah mampu menghafal surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.

Ditanya mengenai pemakanan yang diamalkan Az-Zahraa, Nurjanah berkata, tiada makanan khusus diberikan kepada anaknya itu sebaliknya beliau memasak sendiri setiap hidangan untuk keluarga terbabit.

FATIMAH Az-Zahraa mengulang kaji mata pelajaran Matematik. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

FATIMAH Az-Zahraa bersama bapa, ibu serta adiknya Aishah Zafira. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Minyak ikan amalan sejak dalam kandungan

"Susu segar, kurma dan buah-buahan memang menjadi kegemaran Az-Zahraa dan saya juga amalkan memberi kedua beradik ini minyak ikan yang dimulakan sejak hamil hinggalah ketika bayi seawal usia sembilan bulan sampai sekarang.

"Jarang sekali kami makan di luar kerana saya lebih suka menyediakan sendiri makanan untuk keluarga yang menjadi amalan sejak mula berumah tangga.

"Anak juga tidak didedahkan dengan makanan ringan sebaliknya saya selalu terangkan kepada mereka mengenai keburukannya terhadap kesihatan diri. Malah saya menyediakan sendiri ais krim di rumah jika mereka mahu menikmati manisan berkenaan," kata suri rumah ini.

Berkongsi perasaan sebagai ibu yang memiliki anak dengan keistimewaan menghafal Al-Quran dalam usia awal, Nurjanah berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka akan dikurniakan anugerah seperti itu memandangkan latar belakang pendidikannya bukan dalam bidang agama.

Bersekolah dari rumah

"Namun kami sudah buktikan bahawa kebolehan dan keperibadian anak boleh dibentuk jika ibu bapa sendiri yang berusaha keras untuk memastikan kecemerlangan dan kejayaan anak mereka.

"Kanak-kanak diibarat sehelai kertas putih dan terpulang kepada ibu bapa sendiri untuk menentukan corak yang akan tertulis pada helaian berkenaan," katanya yang sedang hamil tujuh bulan.

Mengenai pendidikan Az-Zahraa, Nurjanah berkata, pada masa ini beliau lebih suka menggunakan pendekatan sekolah dari rumah (home schooling) memandangkan dirinya sepenuh masa berada di rumah.

"Sekarang Az-Zahraa menunjukkan kecenderungan dan minatnya dalam matematik serta sering melakukan latihan dengan tunjuk ajar dari saya," katanya.

Nurjanah berkata, beliau juga bercadang untuk meneruskan konsep 'home schooling' berkenaan kepada semua anaknya kerana bimbang dengan pengaruh sosial yang kurang sihat dalam masyarakat sekarang termasuk di negara asalnya di Indonesia.

Berita Harian X