Selasa, 11 Oktober 2016 | 9:43am

2 kereta bertembung, 3 maut

Keadaan Toyota Avanza yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Masai Lama, dekat sini malam tadi. - Foto ihsan JBPM Johor

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka kemalangan di Jalan Masai Lama, dekat sini kira-kira jam 9 malam tadi.

Pemandu Toyota Avanza, Hamidi Mohd Nor, 50, dan pemandu Perodua Myvi, M Viswanaath, 26, serta penumpangnya, G Premkumar, 19, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata dua lagi penumpang Perodua Myvi, M Sargunam, 18, dan K Stevenraj, 26, cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan. 

"Yang turut menerima rawatan di HSI ialah penumpang Toyota Avanza, Miskiah Satar, 44; Nurhaziqah Hamidi, 12, dan Mohd Hafiz Hamidi, 17," katanya, di sini hari ini. 

Jokhiri berkata, nahas dipercayai berpunca daripada Perodua Myvi dipandu Viswanaath memasuki laluan kanan sebelum bertembung Toyota Avanza dari arah bertentangan. 

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X