Selasa, 11 Oktober 2016 | 10:28am
SAHAM Tokyo. - Foto hiasan/AP

Saham Asia bercampur-campur pagi ini

SINGAPURA: Saham Asia bercampur-campur pada awal dagangan hari ini selepas harga minyak meningkat ke paras tinggi dalam tempoh setahun.

Optimistik bahawa Hillary Clinton menerajui kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) mendorong peningkatan di Wall Street semalam.

Harga minyak mentah meningkat sehingga ke paras AS$53.73 semalam, paras tinggi sejak 9 Oktober 2015. Ia ditutup 2.3 peratus lebih tinggi kepada AS$53.14.

Kontrak hadapan minyak mentah AS melonjak 3.1 peratus kepada AS$51.26 semalam, paras tinggi dalam tempoh empat bulan. Kedua-dua kontrak itu diniagakan 0.1 peratus lebih rendah kepada AS$51.28 pada 0022 GMT.

Peningkatan dalam harga minyak berlaku selepas Russia berkata ia bersedia untuk menyertai anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dalam mengehadkan pengeluaran dan Algeria meminta komitmen yang sama dari negara bukan pengeluar OPEC lain.

OPEC menyasarkan persetujuan untuk mengurangkan kira-kira 700,000 tong minyak sehari dalam langkah pengurangan pertamanya sejak lapan tahun lalu.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, Indeks MSCI jatuh 0.1 peratus.

Indeks Nikkei Jepun naik 0.8 peratus, Indeks Korea Selatan, Indeks KOSPI meningkat 0.1 peratus selepas dibuka rendah kerana Samsung Electronics jatuh sebanyak lima peratus kerana syarikat berdepan cabaran untuk mengekang krisis yang semakin mendalam berkenaan telefon pintarnya, Galaxy Note7.

Semalaman, indeks saham AS ditutup tinggi antara 0.5 peratus dan 0.7 peratus, selepas Indeks Eropah, Indeks FTSEurofirst 300 ditutup 0.9 lebih tinggi.

Dolar AS mengukuh 0.3 peratus kepada 103.95 yen pada awal dagangan Asia hari ini, selepas naik 0.7 peratus semalam.

Euro tidak banyak berubah dengan berada pada paras AS$1.1133. - Reuters-

Berita Harian X