Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:07pm

Anggota tentera China buat bantahan dipecat

PENDUDUK berpakaian seragam yang membuat bantahan di Bayi Building, Beijing. - Foto Reuters

BEIJING: Polis di ibu kota China hari ini menutup jalan raya berhampiran sebuah bangunan utama tentera, ketika beratus penduduk berpakaian seragam penyamaran hijau melaung dan mengibarkan bendera negara untuk membantah apabila mereka kehilangan pekerjaan.

China tahun lalu mengumumkan ia akan mengurangkan anggotanya kepada 300,000 orang, menyasarkan pengurangan menjelang akhir 2017, ketika ia mahu membelanjakan lebih banyak wang membeli senjata berteknologi tinggi untuk angkatan tentera laut dan udara.

Puluhan ribu bantahan berlaku di China setiap tahun, dicetuskan rasa tidak puas hati berhubung isu rasuah, pencemaran, rampasan tanah haram dan faktor lain, mencemaskan Parti Komunis memerintah yang taksub dengan kestabilan.

Hari ini, deretan bas memenuhi blok Chang'an Avenue, jalan utama di ibu kota ini dengan polis mengepung ruang antara kenderaan bagi menghalang pandangan penunjuk perasaan penuh sesak.

Suara penunjuk perasaan di hadapan bangunan tentera Bayi Building nyaring melebihi bunyi bising lalu lintas ketika menyanyikan lagu, sementara sesetengah melambai bendera China dan kain rentang membantah layanan ke atas mereka selepas dipecat daripada tentera.

"Hak dan manfaat untuk dipindahkan daripada jawatan tentera kepada tugas awam sesuai sudah dilanggar," tulis kata-kata pada kain rentang.

China memiliki angkatan tentera terbesar dunia dan kerajaan pimpinan Presiden Xi Jinping menyalurkan berbilion dolar untuk program pemodenan, termasuk kapal pengangkut, peluru berpandu anti-satelit dan jet siluman. -Reuters

Berita Harian X