Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:12pm

Ahli perniagaan rugi RM50,000, cermin kereta dipecahkan penyamun

ANGGOTA polis memeriksa sebuah kereta Mercedes Benz dan berjaya memberkas seorang daripada tiga lelaki di Hutan Lipur Taman Bukit Pelindung selepas mereka memecah kereta kenderaan pacuan empat roda dan yang melarikan wang tunai RM60,000 milik seorang ahli perniagaan di depan sebuah bank di Jalan Beserah. - Foto Ihsan dari PDRM

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan kerugian RM50,000 apabila tiga suspek bertindak memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan kereta yang diletakkan di hadapan sebuah bank dekat Jalan Beserah, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, dalam kejadian  kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa melakukan urusan di bank berkenaan.

"Suspek dipercayai menggunakan objek keras untuk memecahkan cermin hadapan bahagian penumpang kereta mangsa.

"Mereka kemudiannya melarikan sampul yang berisi wang tunai berjumlah RM50,000 yang berada dalam kereta itu.

"Suspek berusia antara 20 hingga 30-an itu kemudiannya meloloskan diri menggunakan kereta jenis Mercedes Benz selepas melakukan jenayah terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.

Abdul Aziz berkata, seorang daripada suspek berjaya diberkas selepas bergelut dengan pegawai dan anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Katanya, dua lagi suspek sempat meloloskan diri di kawasan Hutan Lipur Bukit Pelindung, di sini.

"Pegawai dan anggota kami berjaya mengejar kereta dinaiki suspek yang menggunakan laluan Jalan Teluk Sisek hingga ke Taman Bukit Pelindung.

"Seorang daripada berjaya diberkas selepas bergelut dengan anggota kami, manakala dua lagi sempat meloloskan diri. Usaha menjejak suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X