Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:41pm

Tiga agensi bersama banteras penyeludupan kayu gaharu

WAN Junaidi (tengah) melihat buku Agarwood selepas melancarkannya pada majlis Penutup Simposium Saintifik Antarabangsa Gaharu anjuran UPM di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
WAN Junaidi (tengah) melihat buku Agarwood selepas melancarkannya pada majlis Penutup Simposium Saintifik Antarabangsa Gaharu anjuran UPM di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Jabatan Perhutanan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meronda kawasan hutan bagi membanteras kegiatan mencuri kayu gaharu terus berleluasa di sini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kegiatan mencuri kayu gaharu atau karas biasanya dilakukan oleh warga asing yang bekerja di negara ini sebagai buruh dan pada masa sama, mereka menceroboh hutan untuk menyeludup keluar hasil hutan berkenaan.

"Kerjasama dengan PDRM dan ATM dapat membantu merancang strategi terkini bagi menjalankan operasi bersepadu untuk mengurangkan kes kecurian kayu gaharu dan khazanah hutan serta membendung jenayah alam sekitar lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Saintifik Antarabangsa Gaharu, di sini hari ini.

Simposium kali Kedua anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Dr Azmi Mohd Lila dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr Abd Rahman Abd Rahim.

Sempena majlis itu, Wan Junaidi turut melancarkan buku penyelidikan bertajuk 'Agarwood: Science Behind The Fragrance', hasil tulisan penyelidik UPM, Prof Madya Dr Rozi Mohamed, yang membincangkan isu kayu gaharu dari aspek saintifik.

Kata menjelaskan, kayu gaharu menjadi sasaran kumpulan mencuri hasil hutan itu dipercayai diseludup ke negara jiran berikutan mendapat permintaan tinggi dan mampu mendapat keuntungan lumayan.

"Kayu gaharu adalah spesis terancam yang dilindungi undang-undang dan setiap pihak perlu mempunyai lesen jika ingin menuai, menjual atau mengeksport barangan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan berhasrat memperluaskan pasaran kayu gaharu khususnya pada peringkat antarabangsa tetapi kajian dan penyelidikan terhadap penghasilan produk kayu gaharu perlu diperluaskan lagi untuk menjamin sistem pengeluaran yang mampan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X