Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:44pm

Bersih lapor polis terhadap Jamal Yunos


PENGERUSI Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung perhimpunan Bersih 5.0.

Maria Chin berkata, kenyataan yang dibuat menerusi akaun Facebook 'Dato Jamal Yunos' itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara justeru, beliau mahu siasatan dilakukan ke atas pemilik akaun terbabit serta kenyataan yang dimuat naik, sama ada benar ia dipunyai dan ditulis Jamal atau orang lain.

"Setakat ini, lapan laporan polis sudah dibuat berhubung perkara ini (kenyataan berbaur hasutan) iaitu di Johor Bahru dan Kluang di Johor; Kuantan di Pahang; Kota Kinabalu di Sabah; dan tiga lagi di ibu negara, termasuk hari ini.

"Kita serahkan kepada polis untuk siasat. Jika bukan beliau (Jamal) yang keluarkan kenyataan (di Facebook) itu seperti didakwa, biar polis cari siapa yang bertanggungjawab," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, petang tadi.

Pada 21 September lalu, satu akaun Facebook atas nama 'Dato Jamal Yunos' didakwa mengeluarkan kenyataan yang berbunyi "Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 5 November ini. Hidup Melayu!".

Perkara itu turut mendapat reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya yang memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pemilik laman Facebook terbabit.

Berita Harian X