Rabu, 12 Oktober 2016 | 12:02am

Penyair jangan musuhi agama, sekular bukan rakan

PENYAIR tersohor Syria, Adonis atau nama sebenarnya, Ali Ahmad Said Esber. - Foto AFP

KETIKA penyair tersohor Syria, Adonis menegaskan fanatik keagamaan 'memusnahkan jiwa dunia Arab', manakala puisi pula berupaya menjadi penyelamat, ia memperlihatkan dua bentuk ekstrem yang menjalar dalam dunia Timur.

Adonis yang sering disebut-sebut sebagai pesaing utama Hadiah Nobel Kesusasteraan menganggap masa depan dunia Arab bergantung kepada sekularisme, sekali gus memperjuangkan humanisme yang turut menjadi roh kepada kesusasteraan Barat.

"Puisi tidak boleh menyembelih leher kanak-kanak, membunuh manusia dan memusnahkan muzium," kata Adonis kepada AFP.

Seru pemisahan antara negara dengan agama

Ada benarnya pandangan Adonis atau nama sebenarnya, Ali Ahmad Said Esber, tetapi beliau pergi lebih jauh dengan menyeru kepada pemisahan antara negara dengan agama, manakala penyair memainkan peranan penting dalam usaha itu.

"Penyair Arab memang selalu menentang Tuhan. Tidak ada penyair agung dalam sejarah kami yang juga orang yang hebat keyakinan agamanya seperti Paul Claudel di Perancis.

"Masa depan bergantung kepada sekularisme. Saya tegaskan sebelum ini seseorang tidak boleh mencetuskan revolusi sekular dengan golongan yang muncul dari masjid untuk berdemonstrasi. Revolusi satu perkara, masjid perkara berbeza.

"Bagaimanapun, selagi kematian berada di hadapan dan ia wujud, puisi akan tetap ada. Puisi tidak mungkin dapat didiamkan," katanya.

Adonis mungkin mempunyai justifikasi dalam membuat kenyataan itu kerana selain sering dijatuhkan 'fatwa' hukum bunuh, beliau menyaksikan Syria dirobek dengan begitu dahsyat sekali terutama oleh cengkaman kelompok Daesh.

Bagaimanapun, Syria bukan sahaja menjadi mangsa keganasan aliran yang dianggap antara paling ekstrem dalam sejarah Islam moden, negara itu juga menjadi percaturan politik dan ketenteraan bukan saja negara serantau, bahkan peringkat antarabangsa termasuk oleh negara yang mengamalkan demokrasi.

Dengan kata lain keganasan yang berlaku di negara seperti Syria bukan saja daripada golongan ekstrem yang mempergunakan nama Islam, bahkan oleh negara sekular yang menunggu masa kerana penguasaan negara bumi Syam itu penting dalam percaturan politik, ketenteraan dan minyak serta survival Israel.

Berhati-hati supaya tidak menjemput kuasa luar

Sudah tentu hal itu akan mengingatkan kita kepada amaran ulama besar Syria, Allahyarham Sheikh Muhammad Said Ramadan Al-Bouti bahawa apa-apa saja tindakan yang diambil perlu berhati-hati supaya tidak menjemput kuasa luar.

Satu amaran yang tepat, tetapi malangnya diabaikan sehingga akhirnya bukan saja golongan Daesh tumbuh seperti parasit, bahkan kuasa besar luar menjadi serangga perosak yang berebut-rebut untuk mengambil bahagian daripada bumi Syria.

Memang benar tanggapan Adonis bahawa fanatik keagamaan 'memusnahkan jiwa dunia Arab' tetapi sekular totok pun akan menghancurleburkannya seperti yang dibuktikan sepanjang sejarah peradaban Islam.

Dalam sejarah moden rantau Arab, mungkin penyair selalu menentang Tuhan tetapi sepanjang sejarah peradaban Islam sama ada Arab, Parsi atau Turki, penyair selalu datang daripada ranah yang subur dengan tasawuf dan tarikat.

MAULANA Jalaluddin Rumi.

Maulana Jalaluddin Rumi umpamanya membawa mesej cinta yang hingga kini masih relevan termasuk di Amerika Syarikat, tetapi puisi beliau memiliki kesinambungan roh dan darah dengan tokoh seperti Rabiatul Adawiah, Mansur al-Hallaj, Ahmad Jami, Sanai Ghaznawi, Fariduddin Attar, Iraqi, Saadi, Yunus Emre dan Hafiz Shirazi.

Daripada mereka inilah, maka peradaban Islam yang bukan saja mengabdikan diri kepada Allah, menjunjung tinggi Rasulullah SAW dan membawa makna agama yang holistik, bahkan mengangkat makna hakiki manusia serta kemanusiaan pada martabat yang mulia.

Kita berharap sekiranya Adonis dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Kesusasteraan, beliau tidak melihat agama sebagai musuh hanya kerana golongan Daesh menyembelih leher orang awam dan memusnahkan muzium, sebaliknya menyaksikan Islam dari kaca mata sejarah peradaban yang tinggi yang melahirkan penyair seperti Maulana Rumi yang cintanya ibarat taman yang terus subur sehingga kini.

Berita Harian X