Rabu, 12 Oktober 2016 | 11:37am

Pemilikan rumah masih rendah

Naib Presiden Kanan Bank Simpanan Nasional, Akhsan Zaini. - Foto Salim Shaari

Sikap tunggu dan lihat antara dilema yang dihadapi pembeli rumah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meski pun menyedari nilai hartanah tidak pernah susut.

Dilema itu turut disokong dengan polisi terbaharu yang diumumkan termasuk dalam pinjaman dan pembelian rumah, kebanjiran pembinaan rumah pada harga yang tidak mampu dimiliki dan sentimen pasaran.

Lebih menyedihkan masalah itu sebahagian besarnya dibelenggu oleh pembeli Bumiputera yang sehingga kini masih ramai yang belum memiliki kediaman sendiri berikutan kekangan yang dihadapi mereka termasuk 'tersilap' memilih jalan penyelesaian.

Menurut statistik awalan daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), bilangan transaksi pada suku pertama 2016 secara keseluruhannya adalah lebih rendah dengan 80,029 transaksi berbanding dengan 93,490 pada suku pertama 2015, yakni penurunan sebanyak 14.4 peratus.

Jika dibandingkan dengan suku keempat 2015, pertumbuhan negatif juga dapat disaksikan dengan kadar 10.9 peratus. Jumlah nilai transaksi juga menurun di antara kedua-dua suku pertama ini sebanyak 17.9 peratus, daripada RM38.96 bilion kepada RM31.99 bilion. Berdasarkan laporan itu, keadaan pasaran hartanah dilihat masih mencabar.

Namun, secara sedar atau tidak kadar pemilikan kediaman di kalangan Bumiputera masih rendah. Masih ramai dalam kalangan mereka tidak merasakan penting untuk membeli hartanah untuk dijadikan suatu pelaburan atau persediaan untuk menghadapi masa depan.

Mereka lebih menggemari ganjaran dalam bentuk serta merta, berbanding faedah untuk jangka masa panjang. Mereka belum sedar dengan kepentingan aset yang memberi keuntungan daripada liabiliti yang memberi beban.

Alasan atau masalah paling ketara yang sering diperkatakan adalah masalah kemudahan kewangan. Contohnya tidak mampu menyediakan wang deposit, kegagalan untuk mendapatkan pinjaman serta komitmen tinggi seperti pinjaman pendidikan, hutang kad kredit serta keperluan hidup dengan kos tinggi.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Pengedaran Bank Simpanan Nasional (BSN), Akhsan Zaini, berkata kemudahan kewangan yang diperolehi oleh seseorang individu adalah berdasarkan kelayakan serta kemampuan individu itu sendiri.

"Dengan lebihan pendapatan yang ada, seseorang itu boleh memiliki kediaman idaman mereka berdasarkan kemampuan kewangan mereka pada masa itu.

"Dalam hal ini, pengurusan kewangan yang betul akan membantu pembeli untuk mendapatkan kediaman mereka dan pada masa sama ia mengelak daripada bebanan kewangan dalam kehidupan seharian," katanya ditemui BH, baru-baru ini.

Kajian mendapati golongan yang sangat memerlukan bantuan dalam pemilikan kediaman adalah terdiri daripada mereka yang sudah berkahwin dan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Kumpulan itu didapati layak untuk memiliki rumah sendiri, tetapi tidak mampu menyediakan 10 peratus wang deposit dan lain-lain kos guaman.

Akhsan berkata, bagi mengatasi masalah itu, pelbagai inisiatif dan skim diperkenalkan kerajaan melalui beberapa mandat yang disalurkan melalui institusi perbankan tempatan seperti BSN.

"Contohnya, BSN menerusi mandat Skim Perumahan Belia (YHS) dengan kerjasama Cagamas Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diwujudkan bagi membantu pasangan berkahwin berusia 25 hingga 40 tahun memiliki rumah pertama dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000 serta harga rumah di bawah RM500,000.

"Skim berkenaan adalah inisiatif bersepadu yang diperkenalkan kerana ia bukan sahaja membantu pasangan muda untuk memiliki rumah, malah ia peluang terbaik direbut ketika ini," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sejak skim berkenaan dilancarkan pada tahun lalu, jumlah permohonan skim itu masih rendah meski pun tawaran yang dikeluarkan adalah sebanyak 20,000 permohonan.

"Setakat ini, terdapat 3,353 permohonan yang diperoleh dan daripada jumlah itu hanya 1,600 permohonan diluluskan. Kebanyakan permohonan yang ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk kemampuan kewangan yang tidak mencukupi.

"Justeru itu, BSN turut menyediakan khidmat nasihat termasuk dalam pengurusan kewangan yang betul bagi membantu mereka menyelesaikan masalah dihadapi," katanya.

Selain skim berkenaan, BSN turut metawarkan Skim Perumahan PPR DBKL (MTEN), Skim PPR dan Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE) yang diwujudkan dengan fokus untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan bagi memiliki kediaman sendiri.

Info:

- Laporan JPPH pada 2015 mendapati harga purata rumah kediaman di Kuala Lumpur dan Selangor adalah RM718,755, manakala terendah ialah di Perlis sekitar RM156,000.

- Pada suku pertama 2016, penurunan transaksi sektor kediaman mencecah 9,878 berbanding suku pertama 2015.

- Statistik JPPH juga mendapati daripada 10,655 unit yang dilancarkan di seluruh negara pada 6 bulan pertama tahun 2016, hanya 2,732 unit sahaja yang terjual, bersamaan prestasi jualan sebanyak 25.6 peratus.

Berita Harian X