Rabu, 12 Oktober 2016 | 4:00pm

UTM-Lekir Energy Sdn Bhd bangunkan sistem penggerudian bendalir untuk industri minyak, gas

PROF Dr Ahmad Fauzi (kanan) menyerahkan dokumen kepada Abu Talib (kiri ) selepas pemeteraian MoU di antara UTM-MPRC dan Lekir Energy Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM Skudai, Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dengan Lekir Energy Sdn Bhd bagi membangunkan sistem penggerudian bendalir yang lebih berkesan untuk industri minyak dan gas.

Menerusi kerjasama itu, satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan minyak sawit akan dijalankan bagi mengurangkan kesan pencemaran sehingga 40 peratus apabila menggunakan mesin penggerudian.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata seramai 12 penyelidik akan menjalankan R&D itu selama dua tahun bagi menghasilkan penyelesaian penggerudian yang lebih mesra alam kepada industri.

"UTM dan Pusat Penyelidikan Petroleum Malaysia (MPRC), Institut Minyak dan Gas memperoleh dana dari Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) bagi menjalankan kajian.

"Dana RM2.16 juta diperuntukkan bagi menjalankan kajian berkenaan. Justeru, kami kami yakin kerjasama terbaru dengan Lekir Energy ini akan memberi output yang lebih ketara untuk industri," katanya selepas majlis berkenaan di UTM, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Lekir Energy, Abu Talib Abd Rahman.

Ahmad Fauzi berkata, kerjasama itu juga antara lain akan membabitkan perundingan dan penyelidikan serta pendidikan dan program latihan, sekali gus mengukuhkan kerjasama dengan pihak industri terutama dalam sektor minyak dan gas.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X