Rabu, 12 Oktober 2016 | 4:44pm

RM1 guna komputer, internet percuma sepanjang hayat


MURID SJK (C) Chung Hua, Mantin menggunakan komputer yang disediakan sempena Majlis Perasmian Pusat Cyber Rakyat Mantin, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Penduduk sekitar pekan Mantin kini boleh menggunakan kemudahan komputer dan internet secara percuma di Pusat Cyber Rakyat yang dibuka di kawasan berkenaan.

Mereka hanya perlu membayar RM1 untuk yuran pendaftaran dan selepas itu, boleh menggunakan kemudahan di pusat siber terbabit tanpa sebarang bayaran.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd Halim Abd Latif, berkata pusat itu yang beroperasi mulai jam 8 pagi hingga 5 petang hanya ditutup pada Ahad dan hari kelepasan am.

Katanya, pusat siber diuruskan MPN itu adalah yang ketiga dibuka selepas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan Labu.

"MPN memahami bukan semua mampu memiliki komputer dan ada akses internet. Jika sebuah keluarga ada empat anak bersekolah, tetapi hanya ada satu komputer, tentu anak-anak sukar menggunakan komputer untuk menyiapkan kerja sekolah.

"Segala-galanya percuma di pusat ini, tetapi jika hendak cetak dokumen, pengguna perlu bawa kertas sendiri," katanya pada sidang media selepas perasmian pusat itu oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon, hari ini.

Pusat Cyber Rakyat beroperasi di bangunan rumah kedai milik MPN dengan pengubahsuaian membabitkan kos RM90,000. Kemudahan 21 komputer bernilai RM70,000 disumbangkan oleh sebuah syarikat kuari, Negeri Roadstone Sdn Bhd.

Abd Halim, pembukaan pusat siber itu juga bertujuan mengubah pandangan bahawa tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya menjaga kebersihan, sedangkan PBT juga mempunyai tanggungjawab sosial terhadap penduduk.

28 dibaca
Berita Harian X