Rabu, 12 Oktober 2016 | 10:07pm

Mercedes-Benz Malaysia lancar 2 model serba baharu

SLC 300 jentera sporty dan segar. - Foto Aizuddin Saad

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan dua model baharu, C-Class Cabriolet dan SLC Roadster, bagi pasaran negara ini.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpangnya, Mark Raine, berkata pihaknya menampilkan pilihan eksklusif lain, C-Class Cabriolet dan SLC Roadster memandangkan terdapat kekurangan dalam koleksi kereta idaman ketika ini.

"Semua kereta eksklusif ini menjadikan jenama kami begitu menarik dan dengan C-Class Cabriolet dan SLC Roadster, kami menawarkan dua kereta idaman mewah yang membolehkan membuka bumbung ketika memandu dan mengambil udara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Mercedes-Benz C-Class Cabriolet dan SLC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

C-Class Cabriolet baharu menggabungkan kekuatan klasik Mercedes dengan menampilkan jentera yang berkuasa, sporty dan segar.

Ia menampilkan tiga varian iaitu C200 Cabriolet, C250 Cabriolet dan C300 Cabriolet dengan enjin empat silinder 2.0. C200 Cabriolet menghasilkan tork maksimum 300Nm pada 1,200 hingga 4,000 rpm, manakala 350Nm pada 1,200 hingga 4,000rpm dan 370Nm bagi 1,300 hingga 4,000 rpm.

Penggunaan minyak C200 Cabriolet ialah 6 hingga 6.3 liter bagi setiap 100 kilometer(km), 6.2 hingga 6.6 liter/100km (C250 Cabriolet) dan 6.7 hingga 7.1 liter/100km (C300 Cabriolet).

C200 Cabriolet mampu memecut dalam 8.2 saat dari 0 hingga 100 km/j, 6.9 saat (C250 Cabriolet) dan 6.4 saat (C300 Cabriolet).

Harga atas jalan raya termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk C200 Cabriolet ialah RM358,888, manakala C250 Cabriolet (RM388,888) dan C300 Cabriolet (RM443,888) tanpa insurans.

SISI belakang C 300 Cabriolet. - Foto Aizuddin Saad

Dalam pada itu, SLC pula menampilkan reka bentuk dinamik dan sporty dengan dua varian, SLC 200 dan SLC300 yang dilengkapi dengan enjin dua liter empat silinder. SLC 200 menghasilkan tork 300Nm pada 1,200 hingga 4,000 rpm, manakala SLC 300 menjana 370Nm pada 1,300 hingga 4,000 rpm.

Dari segi penggunaan minyak, SLC 200 menggunakan 5.7 liter bagi setiap 100km, manakala SLC 300 sebanyak 5.8 liter.

SLC 200 berupaya memecut 0 hingga 100 km/j dalam hanya 6.9 saat, manakala SLC 300 dalam 5.8 saat. SLC 300 dijual harga RM398,888 termasuk GST, manakala SLC 300 pula RM468,888 tanpa insurans.

Fakta Nombor

C-Class Cabriolet

C200 Cabriolet - RM358,888

C250 Cabriolet - RM388,888

C300 Cabriolet - RM443,888

  • SLC-SLC 200 - RM398,888
  • SLC 300 - RM468,888
Berita Harian X