Khamis, 13 Oktober 2016 | 12:12am
ABIL tidak pernah meletakkan sasaran dalam karier apatah lagi mengidam trofi atau anugerah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Nabila Huda tolak berlakon sinetron, drama televisyen Indonesia


KUALA LUMPUR: Biarpun aktres ini dijulang atas kemampuan menghidupkan watak hingga merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28, baru-baru ini, Nabila Huda sedar pakej dimiliki tidak melayakkan dirinya menawan pasaran Indonesia.

Mengaku dirinya bukan berwajah Pan Asia yang menjadi prasyarat mencipta nama dalam industri seni di republik itu, Nabila akur dengan 'selera' peminat di Indonesia yang cenderung memilih pelakon berwajah kacukan.

"Dulu saya pernah terbabit dalam penggambaran bersama dua bintang Indonesia iaitu Agus Kuncoro dan Dwi Sansono. Saya beritahu mereka hasrat mahu berlakon di negara itu.

"Bagaimanapun, saya menolak berlakon sinetron atau drama televisyen (TV) kerana tempoh masanya panjang. Saya tidak boleh tinggalkan anak terlalu lama.

"Mereka beritahu ada saluran khas di Indonesia yang menyiarkan telefilem dan membuatkan saya teruja mencuba.

PELAKON Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28, Nabila Huda. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Namun, saya terpaksa merendah diri kerana tahu saya bukan berwajah Pan Asia yang menjadi kegilaan peminat di republik itu," katanya kepada BH.

Dalam filem garapan Syamsul Yusof itu, Nabila memegang watak Maria.

Disebabkan senario itu, anak kepada penyanyi yang cukup dikenali di Indonesia, Amy Search ini menganggap dirinya bukanlah individu yang dicari penerbit di negara berkenaan.

Namun, dalam meninjau potensi mengembangkan bakat di seberang, Nabila yang mesra disapa Abil, bertuah kerana filem lakonannya, Munafik ditayangkan di 30 pawagam di Indonesia sejak 5 Oktober lalu.

Ini pastinya membuka peluang kepada Nabila 'memperdagangkan' bakat dimiliki kepada peminat filem dan penerbit di Indonesia.

ABIL sedar pakej dimiliki tidak melayakkan dirinya menawan pasaran Indonesia. - Foto Aziah Azmee

Bagai mengulangi kejayaan bapanya yang pernah menawan hati peminat di republik itu apabila filem lakonannya, Isabella ditayangkan di Indonesia pada era 1980-an, Nabila menganggap dirinya cukup bertuah.

"Sudah tentu ini kejutan buat saya apabila diberitahu Munafik berjaya ditayangkan di Indonesia. Inilah satu-satunya peluang untuk saya menunjukkan bakat di luar negara.

"Mungkin Munafik boleh menjadi landasan untuk saya menerima tawaran di Indonesia selepas ini. Malah, daripada reaksi penonton Indonesia yang menyaksikan lakonan saya di dalam Munafik, ramai yang memuji hingga saya tergamam.

"Tidak tahu saya hendak cakap apa... segan ada, gembirapun ada," katanya.

Ulangi kejayaan bapa

FILEM Munafik lakonan Abil membuka peluang kepadanya untuk 'memperdagangkan' bakat dimiliki kepada peminat filem dan penerbit di Indonesia.

Nabila berkongsi perbualan dengan bapanya apabila mendapat tahu filem Munafik ditayangkan di Indonesia, sama seperti ketika Amy membawa filem Isabella ke pasaran republik itu.

"Apabila mendapat tahu filem lakonan saya dapat ditayangkan di Indonesia, saya sempat bersembang dengan papa. Dulu filem lakonan papa dalam Isabella digilai penonton di Indonesia. Kini tiba giliran saya pula menunjukkan bakat lakonan," katanya.

Nabila berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran dalam karier apatah lagi mengidam trofi atau anugerah.

"Saya menceburi bidang lakonan kerana mahu jujur dengan bakat dan berserah dengan apa saja rezeki yang datang.

"Manisnya, apabila sesuatu yang tidak kita jangka datang secara tiba-tiba ketika kita tidak bersedia, itulah yang dikatakan nikmat," katanya.

Sehubungan itu, Nabila enggan tergopoh-gapah jika menerima tawaran daripada penerbit di Indonesia.

"Sebagai pelakon, saya perlu meneliti skrip dan kontrak agar tidak dipermainkan dalam keadaan kita leka dan teruja untuk berlakon di negara orang," katanya yang sedang sibuk menjalani penggambaran filem Tombiruo terbitan Astro Shaw.

Berita Harian X