Khamis, 13 Oktober 2016 | 8:38am

Kuasa dunia usaha gencatan senjata Syria

KEPULAN asap naik ke udara selepas serangan udara di kawasan yang dikuasai pemberontak di Damsyik. - Foto AFP
KEPULAN asap naik ke udara selepas serangan udara di kawasan yang dikuasai pemberontak di Damsyik. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Russia masih meletakkan harapan kepada usaha diplomasi di sebalik beberapa kegagalan membawa keamanan ke Syria, dengan Washington menganjurkan rundingan antarabangsa di Eropah hujung minggu ini untuk mendapatkan gencatan senjata yang kekal.

Washington dan Moscow yang secara rasmi menamatkan perbincangan dua hala berhubung isu berkenaan minggu lalu selepas kegagalan perjanjian gencatan senjata, mengumumkan rundingan dua hari itu akan diadakan di Lausanne pada Sabtu, dan di London pada Ahad.

Pertemuan dibuat selepas Syria terjerumus ke dalam keganasan paling buruk pernah disaksikan, ketika tentera kerajaan yang dibantu tentera udara Russia meneruskan serangan sengit ke atas timur Aleppo yang ditawan pejuang pemisah.

Serangan udara dan bedilan artileri di Aleppo semalam menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh maut, kata pemerhati antarabangsa, sehari selepas Russia dituduh meningkatkan serangan di bandar raya itu.

Ia juga dilakukan dengan ketegangan memuncak antara Moscow dan Barat, yang menuduh Russia melakukan jenayah perang berhubung kempen pengebomannya.

Di Switzerland, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, akan disertai rakan sejawatan mereka dari Turki dan negara Teluk.

Lavrov menamakan Turki, Arab Saudi dan Qatar, semuanya penyokong pembangkang Syria, sebagai peserta. Namun kedua-dua pihak masih belum mengesahkan jemputan kepada Iran, pihak utama dalam konflik dan sekutu Presiden Bashar al-Assad.

Kemudian di London, Kerry akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Eropah, iaitu Britain, Perancis dan Jerman.

Kedua-dua pertemuan memberi tumpuan kepada pendekatan pelbagai hala untuk menyelesaikan krisis di Syria, termasuk menamatkan keganasan dan meneruskan penghantaran bantuan kemanusiaan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X