Khamis, 13 Oktober 2016 | 11:55am

Proses pemilihan MPP USM lancar

NAIB Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Asma Ismail (barisan tengah tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima- penerima sijil Tokoh Maal Hijrah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Universiti Sains Malaysia di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) sidang 2015/2016 berjalan lancar dengan pelajar mula mengundi seawal jam 8 pagi tadi, sebaik pusat mengundi di tiga kampus universiti itu dibuka.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail, berkata proses pemilihan dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Pilih bagi mempercepatkan proses undian berbanding sistem konvesional.

Katanya, undian secara elektronik itu adalah kali pertama digunakan dalam proses pilihan raya kampus tahun ini dan dijangka terus diguna pada masa depan.

"Setakat pagi ini, keadaan di semua pusat pembuangan undian adalah terkawal dan kita tidak menerima sebarang bantahan yang boleh mengganggu proses pemilihan pelajar kali ini.

"Undian melalui sistem e-Pilih ini dijangka dapat mempercepatkan proses kiraan undi yang dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga jam sekiranya tiada bantahan," katanya selepas melawat pusat pembuangan undi di Kampus Induk USM.

Turut mengadakan pemilihan serentak adalah pelajar di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan, Kubang Kerian.

Dr Asma berharap, semua pelajar universiti itu dapat turun beramai-ramai membuat pilihan pemimpin mereka sebelum semua pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang ini.

Berita Harian X