Khamis, 13 Oktober 2016 | 12:43pm

Idris dahului senarai penerima darjah kebesaran Melaka

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, mendahului senarai 923 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob Ke-78, esok.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang akan dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada sesi pertama Sabtu ini.

DUNM adalah anugerah julung kali diberikan kepada seorang Ketua Menteri Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar, berkata selain Ketua Menteri, seramai 11 individu menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri, Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira (20) dan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran Datuk (14).

Selain itu, katanya, 122 individu lagi menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

"Daripada 923 penerima, 62 menerima Darjah Seri Melaka (DSM), 74 Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 195 Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 208 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 186 Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 30 Pingat Khidmat Lama (PKL)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Tun Mutahir, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mendahului 11 penerima anugerah DGSM adalah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Turut menerima anugerah DCSM adalah pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Penerima DMSM termasuk Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Ibrahim Abdullah; Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil, Panglima Markas 3 Divisyen, Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.

Penerima DPSM pula termasuk Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hasan, Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Wan Bukhari Wan Daud dan Pengarang Utusan Malaysia (M) Berhad, Zulkefli Hamzah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X