Khamis, 13 Oktober 2016 | 1:46pm

TH serah zakat perniagaan RM4.13 juta kepada MAIK


DATUK Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 2015 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), hari ini.

Zakat perniagaan itu disampaikan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Ismail Petra sebagai Yang Dipertua MAIK.

Majlis penyerahan turut disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah.

Yang turut hadir, Tengku Temenggong Kelantan merangkap Penasihat Khas Kepada Yang Dipertua MAIK, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlab Abd Hadi.

Abdul Azeez berkata, pembayaran zakat Kelantan mencatatkan peningkatan 2.29 peratus berbanding RM4.04 juta pada tahun 2014 dan negeri itu adalah yang terakhir dalam siri jelajah penyerahan zakat pada tahun ini.

Katanya, Kelantan negeri penerima zakat perniagaan TH keempat tertinggi selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor.

"Jumlah keseluruhan zakat perniagaan tahun kewangan berakhir 2015 yang sudah dibayar TH kepada semua negeri di Malaysia bernilai RM59.3 juta berbanding RM57 juta pada tahun 2014.

"Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini sejajar dengan prestasi dan pencapaian keseluruhan TH yang baik di sebalik ketidaktentuan landskap ekonomi pada 2015," katanya kepada media di sini, tadi.

Mengulas mengenai kenaikan kadar caj visa dan umrah yang diputuskan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, Abdul Azeez berkata, pihaknya akur dengan sebarang peraturan ditetapkan negara berkenaan.

"Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima sebarang surat arahan berhubung perkara itu daripada kerajaan Arab Saudi dan masih menunggu," katanya.

Berdasarkan peraturan baharu itu, kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua, mereka dikenakan bayaran 2,000 riyal (RM2,150).

Bayaran caj visa kemasukan pelbagai kepada rakyat asing turut dinaikkan iaitu 3,000 riyal (RM3,220) bagi tempoh enam bulan, setahun 5,000 riyal (RM5,370), manakala dua tahun 8,000 riyal (RM8,597).

Caj bagi visa transit pula ditetapkan pada kadar 300 riyal (RM320). Kerajaan Arab Saudi dilaporkan mula menaikkan kadar caj visa haji dan umrah berkuat kuasa 2 Oktober lalu.

22 dibaca
Berita Harian X