Khamis, 13 Oktober 2016 | 1:58pm

Perompak gagal larikan barang kemas

PEROMPAK memasuki kedai emas menerusi bumbung belakang.- Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BAHAU: Peti besi yang dilindungi jeriji kukuh menyebabkan perompak yang berjaya memasuki sebuah kedai emas di sini, berputih mata kerana gagal melarikan barang kemas dalam peti itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, seorang perompak memasuki kedai itu menerusi bumbung bahagian belakang premis setingkat itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata pemeriksaan awal polis mendapati terdapat dua kesan siling dipecahkan dalam kedai itu.

Katanya, suspek dipercayai memanjat bahagian belakang kedai dengan menggunakan kerusi plastik rosak yang terdapat di situ.

"Sebaik masuk ke dalam kedai, suspek menutup suis bekalan elektrik, dipercayai untuk mengelakkan kehadirannya diketahui orang lain," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, suspek gagal melarikan barang kemas dalam peti besi kerana terdapat jeriji keselamatan yang cuba dipecahnya tetapi gagal.

Katanya, pemilik kedai berusia 51 tahun hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 10.20 pagi ketika hendak memulakan perniagaan dan membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Bahau di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, termasuk meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu," katanya.

Berita Harian X