SHAH ALAM: Kejayaan atlet paralampik negara pada Sukan Paralimpik Rio 2016 terus mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Kolej Universiti KDU (KDU) yang menawarkan biasiswa berjumlah RM500,000 bagi atlet orang kelainan upaya (OKU).
Biasiswa berkenaan disampaikan Naib Cancelor KDU, Prof Dr Hiew Pang Leang kepada Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPC), Ng Keng Chuan dalam suatu majlis khas yang diadakan di Kampus KDU, Utropolis, Glenmarie, di sini hari ini.
Ia sebagai pengiktirafan kejayaan atlet paralimpik negara yang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Paralimpik Rio 2016, September lalu.
Turut hadir pada majlis itu, atlet paralimpik negara, Mohd Ridzuan Mohd Puzi yang memenangi pingat emas acara 100m T36.
Sementara itu, Dr Hiew berkata, biasiswa berkenaan diserahkan kepada MPC sebagai tanda sokongan dan penghargaan KDU selepas mereka berjaya mengharumkan nama Malaysia di Rio de Janiero, Brazil, baru-baru ini.
Beliau berkata, biasiswa berkenaan merangkumi program perkembangan atlet bagi memberi sokongan perkhidmatan dan kepakaran dengan disalurkan kepada atlet yang mencapai potensi mengikut keperluan serta matlamat mereka.