Khamis, 13 Oktober 2016 | 4:40pm

Nasib pasangan terlantar dapat perhatian

Mohd Fitri (kanan) dan Mohd Farid Irwan membantu bapa mereka Azman Yaakob yang sakit terlantar di Kampung Charok Kelian, Pulai. - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Kesengsaraan sepasang suami isteri yang terlantar sejak tiga bulan lalu akibat kemalangan jalan raya hingga menyebabkan anak mereka berkorban dengan bergilir-gilir tidak hadir ke sekolah di Kampung Charok Kelian, Pulai, dekat sini, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata pihaknya yang mendapat maklumat melalui laporan muka depan BH segera melawat dan mendapati keluarga terbabit memerlukan bantuan.

Beliau berkata, pihaknya memberi bantuan segera sebanyak RM300 dan kerusi roda untuk kegunaan Azman Yaakob, 47, dan isterinya, Juliana Khazali,42.

"Selain bantuan segera itu, pasangan terbabit akan menerima bantuan bulanan RM600 bermula November depan.

"Bantuan itu diharap dapat mengurangkan bebanan keluarga terbabit memandangkan pasangan itu terlantar dan tidak boleh bekerja bagi menampung kehidupan keluarga serta empat anak mereka," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan dua beradik berkorban bergilir tidak hadir ke sekolah bagi menjaga ibu bapa mereka yang terlantar sejak tiga bulan lalu selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Mohd Fitri Azman, 17, dan adiknya, Mohd Farid Irwan, 14, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, terpaksa berbuat demikian kerana kedua ibu bapa mereka memerlukan penjagaan rapi 24 jam sehari.

Selain bergilir-gilir mengambil tanggungjawab menjaga dan menguruskan rutin serta keperluan harian ibu bapa mereka, Mohd Firti dan Mohd Farid juga terpaksa memastikan kesan luka akibat kemalangan sentiasa dicuci serta dijaga untuk mengelak jangkitan.

Berita Harian X