Khamis, 13 Oktober 2016 | 7:31pm

Sistem trafik pintar kini di Cyberjaya

CYBERJAYA: Cyberview Sdn Bhd bersama anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), VADS Lyfe Sdn Bhd, berjaya menjadikan Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar sebagai sebahagian pelan hala tuju transformasi bandar pintar, Cyberjaya ke arah menjadi sebuah hab teknologi global.

Sistem berasaskan Internet untuk Segala-galanya (IoT) itu dibangunkan di dalam negara oleh VADS Lyfe dan dipasang di sepanjang Persiaran Multimedia, Cyberjaya pada Julai lalu.

Sistem berkenaan membolehkan sistem lampu trafik sedia ada mudah diubah suai dan mengagihkan tempoh masa lampu isyarat hijau secara automatik bagi memastikan aliran trafik yang lancar.

Ia dapat menangani kesesakan lalu lintas, mengurangkan masa perjalanan dan masa menunggu, seterusnya memenuhi keperluan trafik harian yang sentiasa berubah.

Pengarah Urusan Cyberview, Datuk Faris Yahaya, berkata Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar yang secara rasmi bermula hari ini adalah hasil kerjasama dengan satu daripada rakan kongsi Cyberview.

Katanya, ia sebahagian daripada pelbagai kerjasama pintar yang ingin dilaksanakan pada masa depan dalam bidang infrastruktur, alam sekitar, sosial dan ekonomi di sini.

Katanya, menerusi kerjasama dengan VADS Lyfe, ruang inovasi teknologi di Cyberjaya akan terus dipertingkatkan melalui penyelesaian pintar yang memberi manfaat kepada penduduk bandar itu.

"Paling penting, kami berharap untuk melihat bukan sahaja penduduk Cyberjaya, tetapi seluruh penduduk Malaysia, menikmati penyelesaian bandar pintar terkini yang dibangunkan dan diperincikan di Cyberjaya," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Penyelesaian berkenaan dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api, pencemaran udara dan pelepasan karbon dari kenderaan.

Dengan sistem baharu itu, masa menunggu bagi lampu isyarat trafik sepanjang Persiaran Multimedia, Cyberjaya berjaya dikurangkan sebanyak 65 peratus iaitu antara lapan hingga 11 minit berbanding kira-kira 32 minit sebelum ini pada waktu puncak.

Sistem lampu trafik sepanjang Persiaran Multimedia adalah sejauh 3.5 kilometer dan mempunyai lapan persimpangan lampu isyarat.

INFO:

Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar

* Dibangunkan di bawah inisiatif pembangunan Bandar Pintar Cyberview

* Disokong oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui dana Pemangkin Bandar Pintar

* Bertujuan mempertingkatkan pendekatan sistem lampu isyarat sedia ada

* Guna televisyen kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan analisis masa nyata keadaan trafik di setiap persimpangan melalui pendekatan analisis video pengesanan

* Ia akan menyesuaikan tempoh masa lampu hijau secara dinamik mengikut analisis, seterusnya memastikan aliran trafik lebih baik sepanjang jalan berkenaan

Berita Harian X