Khamis, 13 Oktober 2016 | 9:14pm

Buruh curi kelapa didenda RM1,500

A Logendran dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 150 kelapa di Bukit Baru, Ogos lalu. - Foto Fhatihah Zakinan
A Logendran dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 150 kelapa di Bukit Baru, Ogos lalu. - Foto Fhatihah Zakinan

AYER KEROH: Seorang buruh lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 150 kelapa di Bukit Baru, Ogos lalu.

Majistret Analia Kamaruddin memerintahkan tertuduh, A Logendran, 35,  dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dan Logendran kemudian menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, Logendran bersama rakannya yang masih bebas didakwa mencuri 150 kelapa milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bernilai RM400 di tepi jalan besar Kampung Pengkalan Batu, Bukit Baru, jam 12.30 tengah hari, 19 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob.

Berita Harian X